KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembersihan dan menambak tanah di tapak sampah haram di Kinrara Mas, di sini giat dilaksanakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
DBKL menerusi catatan di Facebook berkata, tindakan itu diambil susulan lawatan tapak oleh Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Zahir Shari ke kawasan itu baru-baru ini.
“Kontraktor juga diarahkan untuk membawa keluar sisa asbestos yang dilonggok oleh pelaku sampah haram di tapak untuk dilupuskan di tempat yang dibenarkan. Sisa tersebut dikhuatiri membahayakan persekitaran.
“Pihak yang didapati melakukan pembuangan sampah haram boleh didakwa di bawah Seksyen 71, Akta 672 yang membawa hukuman denda RM10,000 sehingga RM100,000 atau penjara enam bulan sehingga lima tahun,” katanya – UTUSAN ONLINE











