ALOR GAJAH – Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan meskipun kereta yang dipandunya terbalik selepas merempuh tiang sebuah kedai makan di Jalan Paya Lebar, Lubok China di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang berusia 22 tahun itu hanya mengalami luka di bahagian tangan kanan dan kiri.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan ke rumahnya di Masjid Tanah di sini.
“Pemuda itu bagaimanapun dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk sehingga keretanya berada terlalu dekat dengan sebuah lori yang berada di hadapannya.
“Dia yang kemudian menyedari keadaan itu terus membrek, menyebabkan kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tiang sebuah kedai makan dan terbalik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, lelaki tersebut telah hadir ke balai polis kira-kira pukul 5.55 petang tadi dan membuat laporan mengenai kejadian tersebut.
“Kita telah mengeluarkan satu saman terhadap pemuda itu mengikut Peraturan 10 LN 166/59 kerana kesalahan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya. – K! ONLINE











