Trio Afrika raih Kasut Emas - Utusan Malaysia

Trio Afrika raih Kasut Emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN kejayaan Manchester City meraih gelaran trebel buat kali pertama pada saingan domestik England, pemain dari benua Afrika juga tidak ketinggalan memahat sejarah apabila tiga pemain Afrika berjaya berkongsi Anugerah Kasut Emas bagi saingan Liga Perdana England (EPL) musim 2018-19.

Tiga pemain terlibat ialah Mohamed Salah dan Sadio Mane daripada pasukan Liverpool manakala Pierre-Emerick Aubame yang mewakili skuad Arsenal dengan kesemua mereka masing-masing menjaringkan 22 gol untuk berkongsi sebagai penjaring terbanyak.

Menariknya, Mane dan Aubameyang menyertai senarai penjaring terbanyak apabila masing-masing meledak dua gol ketika Liverpool menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-0 dan Arsenal membenam Burnley 3-1 sekali gus me­nyaksikan kedua-dua mereka mengumpul jumlah jaringan sama dengan Salah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejayaan tersebut dilihat berjaya mengangkat martabat pemain dari be­nua Afrika dengan Salah merupakan pemain antarabangsa Mesir diikuti Mane mewakili Senegal dan Aubame­yang (Gabon).

Sementara itu, Aubameyang menjelaskan, meraih anugerah tersebut sememangnya menjadi satu kebanggaan buat dirinya di samping berjaya memartabat nama benua Afrika dalam peta bola sepak dunia.

“Trofi ini sangat bermakna dan pas­tinya saya sangat bangga meraihnya meskipun perlu dikongsi dengan Salah dan Mane.

“Saya berkongsi anugerah Kasut Emas ini bersama dua individu yang saya suka, pemain hebat dan berbangsa Afrika. Kami semua mewakili Afrika, ia cukup mengagumkan,” kata Aubame­yang.

Pencapaian berkenaan mampu menjadi pengubat kekecewaan pada saingan EPL, namun mereka bertiga masih boleh berbangga apabila menjadi sandaran utama buat pasukan masing-masing apabila Salah dan Mane berjaya memimpin The Reds mara ke final Liga Juara-Juara manakala Aubameyang membantu The Gunners ke perlawanan akhir Liga Europa.

Bagaimanapun, jumlah 22 gol yang direkodkan ketiga-tiga pemain itu untuk muncul penjaring terbanyak merupakan bilangan terendah sejak musim 2010/11 ketika Dimitar Berbatov dan Carlos Tevez berkongsi anugerah ber­kenaan dengan 20 jari­ngan.

Menariknya, Salah menjadi pemenang Anugerah Kasut Emas buat kali kedua berturut-turut selepas muncul penjaring terbanyak pada musim lalu dengan 32 ja­ringan sekali gus meninggalkan pencabar terdekat iaitu Tottenham Hotspur, Harry Kane di tempat kedua menerusi 30 gol.

Salah yang merupakan bekas pemain AS Roma juga menjadi pemain keenam yang menerima Anugerah Kasut Emas seba­nyak dua kali berturut-turut selepas kali terakhir dilakukan Kane bagi musim 2015/16 dan 2016/17.

Salah, yang meledak lebih 10 gol musim lalu tidak begitu tajam pada musim ini berban­ding kempen 2017/18 tetapi dia dan Mane berjaya mengatasi penja­ring terbanyak City, Sergio Aguero dengan kelebihan satu gol.

Namun, Aguero tetap menyamai rekod bekas penyerang Arsenal, Thierry Henry apabila menjaringkan 20 atau le­bih gol untuk lima musim berturut-turut sepanjang beraksi pada saingan EPL selain menyumbangkan satu jaringan ketika menang 4-1 ke atas Brighton pada aksi terakhir sebelum melengkapkan kejua­raan trebel domestik skuad The Citizens. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini