LISBON – Frenkie De Jong percaya aksi cemerlang yang ditampilkan Belanda dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah itu akan meletakkan kembali The Oranje di landasan tepat untuk memburu kejuaraan di pentas antarabangsa.
Selepas menamatkan saingan Piala Dunia 2014 di kedudukan ketiga, Belanda gagal menyertai beberapa siri kejohanan utama dan ramai mula meragui kemampuan negara itu untuk meneruskan saingan di dalam kejohanan Liga Negara-Negara Eropah terutama dengan kehadiran juara dunia Perancis di dalam kumpulan yang sama.
Skuad kendalian Ronald Koeman itu jelas cemerlang apabila mengungguli aksi kumpulan sebelum menyingkirkan England 3-1 bagi melangkah ke aksi final.
Harapan mereka untuk menjulang kejuaraan terkubur selepas jaringan tunggal Goncalo Guedes meranapkan impian mereka di Estadio Do Dragao.
“Kami akan mula menjadi perhatian selepas beraksi cemerlang di sini.
“Pelbagai pengalaman diraih sepanjang beraksi di sini terutama final dan sekarang ini kami perlu layak ke saingan Euro.
“Kami tidak beraksi dengan persembahan terbaik tetapi pengalaman ini boleh diteruskan dalam saingan Euro 2020,” kata De Jong.-AGENSI











