KOTA BHARU – Jabatan kesihatan negeri mengesan seramai 53 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang menghadapi jangkitan saluran pernafasan sejak Khamis lalu.
Bagaimanapun jabatan itu mendapati hanya dua orang yang maut akibat jangkitan tersebut sejak sebulan lalu berdasarkan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Gua Musang.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin berkata, penyebab dua kematian itu adalah jangkitan paru-paru (Pneumonia).
“Berkaitan dakwaan dalam media sosial seramai 13 orang penduduk ditemui mati dalam tempoh sebulan, hasil verifikasi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang pada hari ini mendapati terdapat hanya dua kes yang meninggal dunia dan bedah siasat dilakukan di Hospital Gua Musang (HGM).
“Penyebab kematian adalah jangkitan paru-paru (Pneumonia). Kematian bagi yang lain, tidak dapat disahkan kerana tidak pernah dilaporkan kepada pihak hospital atau Klinik-klinik kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zaini berkata, pada Khamis lalu, Jabatan Kesihatan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah ke kampung tersebut selepas mendapat laporan dan mendapati 29 kes jangkitan.
Katanya, kesemua mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Aring dan Klinik Kesihatan Chiku 3, Gua Musang untuk pemeriksaan lanjut dengan 12 kes dirawat sebagai pesakit luar manakala 17 orang dirujuk ke HGM.
“Pesakit-pesakit ini terdiri daripada 19 perempuan dan 10 lelaki dengan peringkat umur berikut, bayi seramai tiga orang; kanak-kanak (10) dan dewasa (16 orang).
“Pemeriksaan klinikal mendapati mereka ini mempunyai tanda-tanda jangkitan di saluran pernafasan.
“Pihak Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai sedang melakukan beberapa ujian klinikal lanjutan bagi menentukan penyebab jangkitan tersebut. Setakat ini keputusan ujian terhadap Tibi telah diperolehi dan adalah negatif. Pihak kami masih menunggu keputusan ujian yang lain,” katanya.
Katanya, pada pagi semalam, pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah telah diarahkan untuk melakukan carian kes secara aktif di Kuala Koh dan menemukan 24 kes lagi yang mempunyai gejala demam serta batuk.
Tambahnya, kes-kes itu telah dibawa Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk pemeriksaan dan rawatan. – UTUSAN ONLINE











