SEREMBAN – Wartawan Harian Metro Biro Negeri Sembilan, Mohd. Helmi Irwandy Mohd. Nor berdepan detik cemas apabila mengalami sakit dada ketika memandu sebuah kereta semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang di Kilometer 281.7 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara) berhampiran Nilai dekat sini.
Ketika kejadian. beliau baru selesai tugasan di Bandar Sri Sendayan dekat sini dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Semenyih, Selangor.
Dua anggota Pasukan Rondaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd. Hasrul Hasniezam Hassan dan Muhammad Hafizuddin Zahid telah memberi bantuan awal kepada Mohd. Helmi Irwandy yang terbaring di tepi lebuh raya tersebut.
Yang turut membantu ialah beberapa penunggang motosikal yang berada di tempat kejadian.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Keadaan beliau kini dilaporkan stabil. – UTUSAN ONLINE











