KUALA LUMPUR – Pelantikan bekas ahli PKR, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada akhir Ramadan lalu mengejutkan ramai pihak.
Pemilihan beliau merupakan satu lagi keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan tidak mengikut semangat janji-janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) parti berkenaan.
Ramai memberi reaksi negatif termasuk pemimpin PH kerana risau terhadap imej parti itu yang semakin buruk pada mata rakyat.
Namun ada juga menerima keputusan tersebut termasuk Pengerusi PKR Johor merangkap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dengan melihat percanggahan pandangan sebagai tanda wujud demokrasi yang segar dalam PH.
Berikut adalah kenyataan penuh Hassan:
Dari segi moral politik, kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penjelasan daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah betul berdasarkan janji manifesto PH.
Dari segi undang-undang, keputusan Perdana Menteri melantik Latheefa tanpa merujuk kepada Kabinet dan Parlimen adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedia ada.
Perbezaan pandangan dan pendekatan antara Dr. Mahathir dan Anwar dalam isu pelantikan Latheefa ini menunjukkan wujud demokrasi yang segar dalam PH dan tradisi demokrasi ini akan menjadi semak dan imbang supaya Perdana Menteri tidak akan menjadi autokrasi dan Kabinet tidak menjadi ‘rubber stamp’ atau lebih parah jika menjadi oligarki.
Latheefa mempunyai merit untuk memikul tanggungjawab memerangi rasuah di negara Malaysia tercinta ini selagi beliau menjunjung amanah untuk bertindak tegas tanpa takut dan pilih kasih.
Sebarang kempen atau petisyen untuk memaksa Latheefa meletak jawatan seeloknya dihentikan kempen dan petisyen itu. Beri ruang dan peluang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu menjalankan tugasnya.
Jangan kerana satu pelantikan jawatan ini akan membawa perpecahan kepada PH. Perdana Menteri telah umumkan bahawa keputusannya muktamad dalam soal perlantikan Latheefa.
Sama ada suka atau tidak, kita perlu terima keputusan Perdana Menteri itu. Saya percaya teguran dan pandangan daripada Anwar dalam isu ini akan menyedarkan Perdana Menteri supaya merujuk kepada Kabinet dan Majlis Kepimpinan Tertinggi PH dalam membuat keputusan-keputusan besar negara pada masa masa akan datang.
Kepimpinan PH perlu merapatkan saf kepemimpinan. Dialog dan perbincangan mesti terus diadakan. Agenda reformasi dalam institusi negara perlu diteruskan. Perpecahan perlu dielakkan sesama gabungan PH.
Jadikan episod pelantikan Latheefa ini sebagai satu pengajaran dan teladan. PH perlu bergerak ke depan dengan lebih bersatu. – UTUSAN ONLINE
*Kenyataan di atas tidak semestinya mencerminkan pendirian atau pandangan Utusan Online, ia merupakan pandangan peribadi penulis.











