Harap tambang bas ekspres tidak dikawal - Utusan Malaysia

Harap tambang bas ekspres tidak dikawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkhidmatan bas ekspres amat sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan ramai warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing menggunakan pengangkutan tersebut.

Namun mengikut Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali, berbanding 10 tahun lalu permintaan menggunakan perkhidmatan bas ekspres sedikit berkurangan disebabkan peningkatan kuasa beli rakyat yang mampu memiliki kenderaan sendiri, terdapatnya perkhidmatan kereta sewa selain kemudahan kereta api dan kapal terbang.

Dalam menghadapi saingan sengit yang berlaku, beliau juga melihat kewajaran agar kerajaan membenarkan kadar tambang bas ekspres dibiarkan mengikut pasaran dan bukan lagi dikawal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berikut adalah temu bual Mohamad Ashfar dengan Wartawan Utusan Malaysia, FADZIL ZAINOL baru-baru ini.

UTUSAN: Apakah berlaku kenaikan kadar tambang Aiditfitri tahun ini?

MOHAMAD ASHFAR: Ada. Biasanya setiap tahun Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini dijenamakan sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memberi kelonggaran untuk menaikan kadar tambang sebanyak 10 peratus.

UTUSAN: Adakah telah diluluskan oleh kerajaan?

MOHAMAD ASHFAR: Kenaikan ini sudah diluluskan oleh kerajaan. Kenaikan kadar tambang ini perlu memandangkan ramai pekerja syarikat bas ekspres kena bekerja lebih masa, meliputi pemandu bas, pekerja kaunter tiker dan mekanik. Selain itu kadar penggunaan bahan api juga meningkat kerana kesesakan jalan raya.

UTUSAN: Bagaimana permintaan terhadap perkhidmatan bas ekspres sempena hari raya tahun ini?

MOHAMAD ASHFAR: Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, tetapi kali ini tidak begitu tertekan memandangkan hari raya disambut pada pertengahan minggu. Penumpang mempunyai banyak masa untuk merancang perjalanan kerana ramai telah bercuti seawal hari Sabtu (1 Jun). Ini sekali gus mengurangkan permintaan pengangkutan bas dalam satu masa yang sama.

UTUSAN: Trend pemintaan pengangkutan bas ekspes pada musim perayaan?

MOHAMAD ASHFAR: Kebiasaan pada musim perayaan, permintaan perkhidmatan bas ekspres meningkat 20 peratus. Namun berbanding 10 tahun lalu, permintaan bas ekspres mungkin berkurangan sedikit kerana sudah ramai pengguna mempunyai kenderaan, kemudahan kereta sewa, saingan daripada perkhidmatan kereta api dan kapal terbang dan meningkatkan kekerapan penerbangan.

UTUSAN: Cabaran industri bas ekspres tempatan pada masa ini?

MOHAMAD ASHFAR: Semakin teruk. Kali terakhir kadar tambang disemak ialah pada tahun 2013. Selepas itu, persatuan pernah meminta kenaikan tambang semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan pernah membuat aduan yang sama kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi belum mendapat maklum balas daripada mereka.

Kita bukan terlalu mendesak untuk menaikkan kadar tambang, kita mahu kerajaan membatalkan kawal selia kadar tambang. Kita tidak mahu kerajaan kawal kadar tambang sama separti industri yang lain seperti perkhidmatan teksi menerusi aplikasi (e-hailing) dan pengangkutan udara.

UTUSAN: Apakah permintaan PMBOA kepada kerajaan untuk memastikan masa depan industri tidak mati?

MOHAMAD ASHFAR: Ada kewajaran kadar tambang dibiarkan mengikut permintaan dan penawaran kerana biasanya pengguna bukan setiap hari menggunakan bas ekspres. Banyak syarikat yang gulung tikar terutamanya bumiputera disebabkan kadar tambang ini dikawal. Sejak 1978 boleh diperhatikan 90 syarikat bas ekspres yang diusahakan oleh bumiputera terpaksa ditutup.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sendiri menggalakkan persaingan. Mungkin kawalan kadar tambang ini lebih sesuai untuk perkhidmatan bas henti-henti. Kita sudah hantar aduan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tetapi beliau masih belum memberi sebarang jawapan secara rasmi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini