KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri menempelak menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) terutamanya dari DAP yang `senyap’ mengenai kontroversi membabitkan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu.
Nancy yang juga Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), DAP giat memperjuangkan supaya institusi-institusi seperti SPRM bebas daripada politik.
“Latheefa pula meletak jawatan sebagai ahli PKR sejurus mendapat pelantikan supaya boleh melaksanakan tugas beliau ‘tanpa unsur politik’.
“Entah bagaimanakah reaksi mereka kalau dahulu bawah zaman BN saya diminta keluar PBB sehari sebelum dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM, cuba kita fikir apa Yang Berhormat (YB) dalam PH akan menuduh?
“YB Chong Chieng Jen, YB Gobind Singh, Rafizi (Ramli), YB Lim Kit Siang dan lain-lain pejuang PH. Saya rasa mereka mungkin sanggup berguling-guling di lantai bangunan SPRM untuk membantah. Ke tidak? Entahlah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Latheefa dilantik mengetuai SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang memendekkan tempoh kontrak perkhidmatannya.
Pelantikan Latheefa yang juga bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM didakwa tidak menepati manifesto PH yang melarang pelantikan dalam kalangan ahli politik.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelantikan Latheefa dibuat atas keputusannya sendiri dan tidak dibincangkan dengan anggota Kabinet.
Mengulas lanjut, Nancy yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pelantikan Latheefa telah menimbulkan banyak persoalan terutamanya tuduhan ia bercanggah dengan janji manifesto kerajaan PH yang memperuntukkan pelantikan jawatan itu menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Tak apa la, manifesto kan pernah dikatakan ‘bukan kitab suci’ dan boleh dimungkiri. Jangan kita marah apabila janji manifesto ‘dicappati’. Rakyat haruslah tabah menerima hakikat pahit ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy memberitahu ramai rakyat yang dahulu menyokong PH sudah mula memperlihatkan ketidaksenangan, sinis dan ragu-ragu terhadap parti itu yang sering memungkiri janji manifesto.
“Jangan risau kerana PH tahu, bak kata orang Malaya – Orang Malaysia mudah lupa. Dah kita ampunkan mereka satu tahun, tahun depan kita ampunkan lagi. Asalkan rakyat sanggup ampun semua janji yang `akan’ dicapati. Ini perkara yang sangat baik dan harus digalakkan kerana isu pemungkiran janji PH tiada nampak hentinya. Rakyat perlu belajar supaya menjadi ‘maha mengampun’ kepada PH.
“Saya merenung membaca balik slogan-slogan Malaysia Baharu yang sering dilaungkan, adakah masih relevan lagi. Hakikatnya PH sudah sedar janji-janji kosong mereka tidak dapat dilaksanakan dan hanya sekadar menanam tebu di bibir mulut untuk menipu undi rakyat. Bak orang Sarawak berkata, eksen sik tau,” katanya. – UTUSAN ONLINE.











