JOHOR BAHRU – Seorang remaja berusia 16 tahun terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam akibat kaki tersepit di stering selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan pukul 12.23 tengah hari tadi.
Kejadian di hadapan Kilang Bateri, Jalan Tampoi itu berlaku semasa Mohamad Hairul Azni Abdullah yang beralamat di Jalan Sri Bahagia 13, Taman Sri Bahagia di sini memandu seorang diri.
Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Abdul Aziz, sembilan anggota bersama-sama satu jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandu mangsa dari arah Taman Seri Bahagia menghala Angsana Mall Johor Bahru telah terbabas dan terbalik.
“Mangsa seorang diri ketika kejadian dan tersepit kakinya pada stereng kereta tersebut. Pihak bomba terpaksa menterbalikkan kereta tersebut bagi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, mangsa yang berjaya dikeluarkan pihak bomba diberikan rawatan kecemasan dan operasi tamat pukul 1.03 petang.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans yang ada di lokasi kejadian untuk dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.
“Tidak dapat dipastikan siapa pemilik kenderaan tersebut, mangsa sedar namun tidak dapat memberikan sebarang maklumat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











