KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa khas bebas perlu ditubuh segera Majlis Keselamatan Negara bagi menyiasat kematian kira-kira 12 orang dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang didakwa berpunca akibat penggunaan air tercemar.
Desakan tersebut hadir daripada Presiden Parti Bumiputra Perkasa (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali yang berharap penubuhan jawatankuasa tersebut dapat menentukan tindakan selanjutnya demi keadilan mangsa dan menjamin keselamatan masyarakat Orang Asli.
Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:
Tragedi 12 Orang Asli mati akibat minum air tercemar amat serius dan mesti diklasifikasi sebagai isu nasional.
Dakwaan masyarakat Orang Asli ialah kerana air menjadi kotor dan keracunan akibat daripada aktiviti pembalakkan manakala kerajaan Kelantan pula dengan cepat tanpa siasatan telah menafikan bahawa ia tiada kena mengena dengan keracunan aktiviti pembalakan.
Tragedi ini amat serius dan kerajaan Kelantan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan agensi-agensi kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan semua sekali secara langsung atau tidak langsung bertanggungjawab atas kejadian ini. Tidak ada mana-mana pihak boleh lepas tangan di atas peristiwa ini.
Laporan bedah siasat oleh pihak doktor perubatan terhadap mangsa 12 Orang Asli ini wajib didedah pada umum secara telus. Laporan bedah siasat pasti boleh membantu menentukan apakah kematian akibat keracunan sebagaimana dakwaan masyarakat Orang Asli.
Putra mendesak jawatankuasa khas yang bebas ditubuh segera dalam masa dua hari daripada sekarang untuk menyiasat dengan telus punca kejadian ini.
Jawatankuasa khas bebas ini mesti terdiri daripada doktor pakar, pihak keselamatan, pihak perundangan dan tokoh berwibawa termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil masyarakat Orang Asli. Jawatankuasa khas ini hendaklah ditubuhkan oleh Majlis Kelamatan Negara.
Ini adalah tindakan segera sebagai langkah pertama dan ia bermula dengan jawatankuasa khas bebas ini dan dinilai hasilnya bagi menentukan tindakan selanjutnya demi keadilan mangsa dan menjamin keselamatan masyarakat Orang Asli.
Kaum Orang Asli adalah bumiputera orang asal negara Malaysia yang dahulu Tanah Melayu tidak wajar menerima layanan yang tidak sepatutnya.
Putra adalah sedarah sedaging dengan masyarakat Orang Asli yang merupakan kaum bumiputera negara Malaysia. – UTUSAN ONLINE.











