KOTA BHARU – Kematian misteri Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang merupakan satu bentuk ancaman kesihatan terhadap penduduk di situ yang perlu diberi perhatian segera.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Husam Musa berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat lebih lanjut jika kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan sisa buangan lombong besi yang mencemari kawasan tadahan air penduduk.
Paling penting kata beliau, pihak berkuasa perlu memastikan keselamatan penduduk dan tidak ada lagi korban baharu selepas ini.
“Jika benar punca kematian mereka adalah dari sisa buangan lombong besi yang mencemari tadahan air mereka yang sudah sedia daif, langkah segera membekalkan air bersih hendaklah diambil dan kesan amalan perlombongan berkenaan hendaklah disiasat dan diatasi.
“Adalah satu peristiwa malang, Orang Asli yang telah sedia ketinggalan dan kesempitan dalam semua segi, disukarkan lagi kehidupan mereka sehingga mengorbankan bilangan yang besar keluarga mereka, termasuk kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 13 kematian membabitkan Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh dikesan sejak 2 Mei lalu hingga semalam dipercayai akibat penyakit misteri.
Kematian itu turut membabitkan tiga bayi, seorang daripadanya baru berusia tujuh bulan, kanak-kanak berumur lima tahun dan golongan dewasa sehingga usia 63 tahun.
Bagaimanapun Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin hari ini memberitahu, pihaknya setakat ini baru menerima dua laporan kematian penduduk di situ, masing-masing melibatkan lelaki berusia 30 tahun pada 29 Mei lalu dan wanita berusia 21 tahun petang semalam.
Sebelum ini, Utusan Online pernah melaporkan gesaan masyarakat Orang Asli di Kuala Koh yang mahu pihak berkuasa segera menyiasat punca penduduk mati secara tiba-tiba selepas jatuh sakit, hilang selera makan, menjadi kurus dan batuk-batuk sejak sebulan lalu.
Mengulas lanjut, Husam berkata, beliau sendiri akan turun padang melawat sebahagian mangsa yang kini dirawat di Hopital Kuala Krai, petang ini.
“Saya menyeru semua agensi terbabit tampil menyiasat kedudukan sebenar isu ini, mengambil langkah proaktif menyelamatkan mangsa-mangsa dan memaklumkan kedudukan sebenar kepada keluaga dan masyarakat Orang Asli yang terlibat dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











