KUALA LUMPUR 8 Jun – Pengendali Timor Leste, Norio Tsukitate seakan mengangkat ‘bendera putih’ selepas menyaksikan pasukannya dibelasah 1-7 oleh skuad Harimau Malaya dalam aksi playoff pertama kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Tambahnya, mungkin boleh dikatakan 99 peratus peluang untuk pasukannya dalam Kelayakan Piala Dunia Qatar sudah berakhir dan mengakui pasukan negara berada dalam kelas tersendiri.
“Mungkin peluang Timor Leste 99 peratus untuk kelayakan Piala Dunia 2022 sudah berakhir, perlawanan malam ini sangat sukar buat pasukan kami.
“Berdepan dengan Malaysia yang memiliki barisan pemain yang baik dan sangat bagus menyukarkan kami. Mereka memberi tekanan yang sangat tinggi sepanjang perlawanan hingga menyukarkan kami untuk bermain seperti biasa.
“Apa pun pemain saya meraih pengalaman cukup berharga daripada perlawanan malam ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan pertama itu.
Timor Leste akan menjadi tuan rumah dalam aksi kedua pada 11 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Tsukitate turut mengakui kekurangan pemain negara itu memberi kesukaran untuknya memilih barisan terbaik.-UTUSAN ONLINE











