Intelek Melayu sudah pupus, tak bermaya? - Utusan Malaysia

Intelek Melayu sudah pupus, tak bermaya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPANG percaya bilangan intelek Melayu ramai jika kita google di pelbagai institusi dan menara gading negara ini.

Tapi adakah ia sekualiti Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, 97, atau pun mendiang sejarawan Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim atau pejuang bahasa Dr. Lim Swee Tin? Opps! maaf dua individu yang akhir Tumpang sebutkan tadi bukan Melayu.

Apa yang cuba Tumpang senaraikan adalah intelek Melayu yang lantang, berani dan berterus terang memperjuangkan isu-isu berkepentingan Melayu aras tinggi. Kalau melontarkan kritikan pun berlandaskan fakta. Kemudiannya dikutip sebagai rujukan, bahkan dijadikan dasar pula oleh kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ada tak individu sebegini? Atau Tumpang barangkali terlepas pandang.

Semalam, Tumpang mengunjungi tokoh budayawan Tan Sri Dr. Rais Yatim di pejabat guamannya di Wisma Packer 195, Jalan Tunku Abdul Rahman. Berikut inti pati temu bual yang dikongsi Rais kepada persoalan yang ‘berserabut’ dalam fikiran Tumpang ini:

RUGIKAN BANGSA

Intelek Melayu seolah-olah sudah pupus dan tidak bermaya. Ini meresahkan kita sebab bila golongan intelek dan cerdik pandai tidak lagi banyak menyuarakan sesuatu, ia bermakna mereka sudah tidak menjurus lagi kepada perhitungan keutamaan negara bangsa dan agama seperti dahulu. Berbanding senario dulu, intelek Melayu kini lebih dipelopori retorik politik. Cerdik pandai di menara gading dalam kalangan profesional tidak nampak memainkan peranan lagi. Ini merugikan bangsa Melayu. Walaupun tidak ramai pada masa itu, kita masih mempunyai banyak hasil kepada perbincangan dan juga retorik yang bantu bangsa Melayu mengharungi kehidupan. Topik-topik seperti Dasar Ekonomi Baharu, kenapa tidak berkesan kecapaiannya melebihi 20 peratus? Masih tergantung.

HALA TUJU MAJLIS PROFESOR

Demikian juga kuasa politik Melayu. Inipun tidak ada pihak yang sambut, seolah-olah saya lihat setelah berbincang dengan Majlis Profesor Negara beberapa hari lalu, tidak ada suatu kebangkitan baharu dalam kerangka pemikiran untuk membantu masyarakat khasnya Melayu dan Malaysia amnya ke arah capaian lebih tinggi.

Oleh kerana topik ini ‘kering’ kepada banyak pihak, ia sama ada Majlis Profesor ataupun kaukus pemikiran Melayu baharu mesti wujud untuk berpolemik berterusan dengan kerajaan. Kalau tidak, kerajaan mungkin berasa segalanya ok dan baik sedangkan isu-isu kini berkait langsung survival Melayu itu sendiri.

‘MENTALITI JPA’?

Adakah mungkin mereka sukar berbuat demikian kerana bimbang dicap anti kerajaan? Ia barangkali benar disebabkan ‘mentaliti JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam)’. Sebenarnya para intelek Melayu tidak harus terkongkong oleh politik JPA. Maksudnya jika anda pensyarah dan profesor, kita tak seharusnya dikongkong oleh JPA dengan peraturan amnya. Anda harus bebas sebagai penjana ilmu, baru anda akan keluar dengan hujah yang kritikal.

Maka dalam kalangan pensyarah mesti gugurkan ‘mentaliti JPA’ ini supaya mereka lebih utamakan pemikiran bernas dan berani nyatakan sesuatu mengikut keluhuran intelek dan latar belakang akademik masing-masing.

Sistem yang diwujudkan oleh perkhidmatan awam tidak harus dikenakan kepada orang-orang seperti hakim, profesor dan pensyarah demi mewujudkan peneluran idea lebih berani dan spontan terhadap kerajaan. Sudah sampai masanya negara mempunyai elit pemikir penyumbang, waima mereka menentang kerajaan pun tak kisah.

SUARAKAN DARI KERUSI EMPUK?

Kita harus terima hakikat Raja-raja Melayu hanya suarakan hal-hal Melayu dari kerusi empuk. Mereka kurang berperanan untuk mengajukan di negerinya sendiri hal-hal yang difikirkan untuk Melayu. Bercakap sahaja sejak dulu lagi, tapi tidak ada terjemahannya dalam negeri masing-masing. Masing-masing raja mempunyai keutamaan politik baharunya pula dan kita tak boleh kata raja tidak berpolitik. Sebenarnya raja berpolitik selamat diri.

Raja mempunyai pengaruh besar, tetapi habis satu ucapan, selesailah. Sudah sampai masanya Tuanku-tuanku kita muncul ke depan menggalakkan Melayu berfikir.

SJKC ‘GAMIT’ IBU BAPA MELAYU

Sistem pendidikan kebangsaan tidak mengajar murid/pelajarnya berdialog dan bertanya. Sistem kita lebih kepada satu hala. Prof. Ungku Abdul Aziz pernah bercakap perkara ini namun sekarang masih begitu.

Tetapi dalam kerangka pendidikan Inggeris dan Cina, bersoal jawab untuk selesaikan masalah sebahagian sistem mereka. Sebab itu jangan pelik sekiranya suatu hari nanti sistem kita ditinggalkan oleh masyarakat Malaysia. Mereka akan pergi kepada sistem pendidikan Cina yang mana sekarang ada trendnya iaitu antara 90,000 hingga 100,000 orang Melayu sudah mula mengikuti pendidikan sekolah rendah Cina. Jika berterusan, maka jurusan perdana pendidikan kita akan merosot.

PEMBELAAN NASIB SENDIRI KOSONG?

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pun ada cakap mengenainya. Ibarat mati puyuh hendakkan ekor. Daya fikir Melayu tidak sampai ke tahap pembelaan nasib sendiri. Misalnya keintelektualan bangsa kita terhadap pendatang haram tidak ada.

Macam seolah-olah kita kata ‘biasalah tu’. Saya selalu buat komen di Twitter sehinggalah soal selamatkan pasar borong yang semuanya dimonopoli oleh warga Bangladesh. Namun, tiada terdetik sedikit pun dalam perhitungan minda intelek Melayu. Ini meresahkan.

HUKUM PEMBERI RASUAH

Dan kenapa Melayu terlampau banyak terlibat dengan rasuah? Ini harus dijawab, tapi tak terjawab. Justeru selamanya Melayu diseret dari peringkat tinggi sampai ke bawah. Dalam undang-undang, orang memberi pun harus diseret, tapi di negara ini yang memberi tidak dihitungkan.

‘KUCING BERLARI KE BENDUL’

Mesti ada induksi perubahan pendidikan di universiti. Di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini, saya dapati apa yang diberi (assignment) itulah hasilnya yang tidak ada suatu scholarship untuk mereka berdebat.

Murid dan universiti dengan 90 peratusnya Melayu, tapi mana impaknya? Sudah sampai masanya arus perdana pendidikan dirombak. Semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin (menteri pendidikan) ada dibuat ini semua. Tapi macam “kucing berlari ke bendul, di tengah halaman berhenti”. Dan masyarakat Tionghao dengan pedagogi, keutamaan baharu serta UEC, mereka akan berjaya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini