KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau meluahkan rasa hairan dengan sikap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sebelum ini tidak dapat hadir bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika lawatan rasmi ke China dengan alasan sibuk menguruskan ekonomi negara.
Sebaliknya, boleh pula Guan Eng mengiringi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada lawatan ke kawasan pasukan Pengaman Malaysia di Lebanon pada Hari Raya Aidilfitri pertama.
Sambil memuji Guan Eng, Dominic menyifatkan tindakan pemimpin DAP itu baik kerana menunjukkan sikap faham memahami dan penghargaan kepada pasukan Pengaman Malaysia yang berada pada barisan hadapan.
Beliau bagaimanapun berasa hairan mengapa Menteri Kewangan itu boleh menghabiskan hampir 13 jam perjalanan ke Lebanon tetapi tidak sanggup menempuhi lima jam untuk ke Beijing bersama Perdana Menteri.
“Sebelum ini, alasan Guan Eng tidak mengiringi Perdana Menteri ke China adalah kerana beliau terpaksa tinggal di negara ini bagi menguruskan isu-isu ekonomi tetapi kali ini bagaimana beliau mampu mencari masa lapang untuk melawat Lebanon ?
“Mengapa kali ini pula beliau tidak perlu tinggal di Malaysia untuk menguruskan isu-isu ekonomi negara?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Dominic, beliau membangkitkan perkara ini bukan berniat untuk mengkritik lawatan Guan Eng ke kawasan pasukan Pengaman Malaysia di Lebanon.
“Sudah tentu ia merupakan perbuatan yang baik tetapi dengan `melepaskan’ lawatan rasmi ke China dan memilih untuk pergi ke Lebanon, rakyat merasakan bahawa beliau tidak melakukan tugasnya. Lagipun, acara itu di bawah Kementerian Pertahanan,” katanya.
Tambah Dominic, antara sebab Perdana Menteri melakukan lawatan ke China sebanyak dua kali dalam waktu yang singkat tempoh setahun adalah kerana negara republik itu mempunyai impak besar terhadap ekonomi Malaysia.
“Oleh sebab itu, Guan Eng sebagai Menteri Kewangan sepatutnya berada dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke China.
“Ia bertujuan menarik lebih banyak pelaburan dari China ke Malaysia dan membantu negara mengatasi masalah ekonomi semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE











