ARAU – Sambutan Aidilfitri tahun ini cukup istimewa dan bermakna bagi lebih 30 bekas murid Sekolah Tengku Budriah (STB) apabila dapat bertemu semula selepas hampir 27 tahun meninggalkan alam persekolahan.
Suasana perjumpaan semula murid sesi 1987-1992 yang diadakan di sekolah berkenaan di sini hari ini, ternyata meriah sekali gus dapat mengubati kerinduan mereka dan bersama-sama mengimbas kembali memori zaman persekolahan.
Ternyata pertemuan penuh bersejarah itu meninggalkan kenangan manis seterusnya mengukuhkan jalinan persahabatan meskipun terpisah sejak sekian lama.
Lebih manis, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Guru Besar STB, Azhar Darus; serta bekas guru mereka seperti Amriza Abdullah; Kamarudin Manaf; Rafishah Bakar dan bekas bekas guru besar sekolah tersebut bagi sesi 1992-1995, Adam Mahmood.
Penyelaras program berkenaan, Mazrah Malek,39, berkata, dia merancang mengumpul semula rakan-rakan lama dalam majlis perjumpaan tersebut sejak awal tahun ini.
Katanya, dia mengambil inisiatif mengumpul rakan-rakan bagi menghadiri majlis berkenaan melalui media sosial sebelum menubuhkan satu jawatan kuasa bagi merealisasikan hasrat itu.
“Alhamdulilah majlis tersebut berjaya diadakan dan berlangsung dalam suasana cukup meriah.
Bukan senang dapat berkumpul semula bersama rakan-rakan yang sekian lama terpisah.
“Selain mengimbau kenangan lama, majlis perjumpaan ini juga dapat mengukuhkan jalinan persahabatan sesama kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang bekas pelajar yang hadir pada majlis tersebut, Dr. Muhammad Ehsan Che Munaaim berkata, dia yang bertugas di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak melepaskan peluang hadir pada program tersebut bagi bertemu rakan-rakan lama.
“Bukan senang untuk berjumpa rakan-rakan lama selepas lebih 27 tahun terpisah. Saya harap program seperti ini diadakan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Azhar berkata, dia sangat bersyukur dan gembira dapat bertemu semula dengan bekas murid-muridnya itu yang sentiasa kekal di dalam ingatan.
“Kumpulan ini adalah yang terawal menjadi anak murid saya sejak mula bertugas di STB. Saya mengalu-alukan majlis perjumpaan semula ini diadakan bagi mengeratkan hubungan,” katanya.- UTUSAN ONLINE
-habis











