Keluarga beraya bersama perajurit muda TUDM di Akademi Tentera Udara - Utusan Malaysia

Keluarga beraya bersama perajurit muda TUDM di Akademi Tentera Udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bergelar perajurit muda, mereka terpaksa melupakan seketika keinginan untuk pulang beraya ke kampung halaman apabila perlu memberi keutamaan kepada latihan yang sedang dilalui.

Sebaliknya, keluarga perajurit muda ini dibenarkan hadir ke ATU Ipoh untuk meraikan lebaran bersama-sama pada hari lawatan keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri semalam.

Komandan ATU Ipoh, Kolonel Abdul Nazar Abdul Hamid berkata, kelonggaran berkenaan diberi bagi membolehkan ahli keluarga yang berkelapangan untuk melawat para pelatih.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, ketika ini kesemua 336 perajurit muda TUDM Siri 60/2019 sedang mengikuti latihan asas ketenteraan di akademi berkenaan sejak Januari lalu yang bakal tamat pada 15 Jun ini.

“Walaupun 1 dan 2 Syawal merupakan hari kelepasan am tetapi perajurit muda tidak dibenarkan keluar bercuti dari ATU disebabkan mereka masih dalam latihan.

“Jadi kita membenarkan ahli keluarga untuk datang ke sini meraikan lebaran. Lawatan ini juga telah dimaklumkan kepada semua keluarga perajurit muda pada Ramadan lalu,” katanya di sini semalam.

Abdul Nazar memberitahu, beberapa buah khemah disediakan bagi membolehkan perajurit muda menjamu hidangan hari raya yang dibawa keluarga masing-masing.

“Program lawatan ini secara tidak langsung juga dapat mengeratkan hubungan para pegawai dan jurulatih bersama keluarga perajurit muda yang hadir,” ujarnya.

Sementara itu, Perajurit Muda Aida Afina Saiful Azam, 20, berkata, kerinduannya terhadap keluarga yang tinggal di ibu kota terubat apabila berpeluang bertemu.

“Ini pertama kali berjauhan dengan keluarga dan merasa puas apabila dapat menjamah juadah air tangan ibu iaitu ketupat bersama rendang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini