KUALA LUMPUR – Setelah tujuh tahun menyambut Hari Raya Aidilfitri di sebalik tirai besi, sambutan tahun ini bakal menjadi yang paling bermakna buat Muhamad kerana diberikan peluang pulang ke pangkuan keluarga.
Walaupun hanya tujuh hari pulang ke kampung halaman di Rawang, Selangor, namun tempoh pelepasan banduan secara berlesen yang dianugerahkan kepada lelaki berusia 36 tahun oleh Jabatan Penjara Kajang itu dianggap sebagai satu rahmat Aidilfitri.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, beliau bersyukur kerana diberi kesempatan untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan perkara pertama yang mahu dilakukan selepas bersembahyang raya esok adalah meminta maaf kepada kedua ibu bapa dan meluangkan masa bersama mereka.
“Saya amat gembira dan rasa bertuah dengan anugerah ini. Saya tak sabar mahu pulang ke rumah dan saya paling rindu makan ketupat daun palas yang disediakan oleh ibu saya.
“Selain itu, saya akan gunakan sepenuhnya peluang yang diberikan ini dengan meluangkan masa bersama tunang yang masih setia menunggu saya menjalani hukuman di penjara,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Akuan Penerimaan Pelepasan Banduan Secara Berlesen di Penjara Kajang, di sini hari ini.
Ujar Muhammad yang telah mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik menerusi pengajian di penjara itu, kepulangannya kali ini bukan sahaja untuk menyambut Aidilfitri namun dia mempunyai perancangan hidup dan mahu menjadikan tempoh tujuh hari ini sebagai satu pelengkap kepada program pemulihan yang dijalani untuk kembali semula kepada masyarakat.
“Bagi saya, kehidupan di penjara bukan satu noktah kerana kita diberi peluang untuk melihat sendiri refleksi diri dan memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik. Saya berada di penjara tidak sia-sia, saya sudah menghabiskan pengajian Ijazah Sarjana Muda dan kini dalam proses untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana Kriminologi.
“Penghuni atau bekas penghuni penjara tidak perlu malu atau sembunyikan identiti kerana kita perlu buktikan kepada masyarakat bahawa kita telah berubah dan mampu menjalani kehidupan seperti orang lain,” ujarnya yang bakal menamatkan hukuman pemenjaraan sembilan bulan lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Penjara Kajang, M. Basakaran menjelaskan, sebanyak dua penghuni dibebaskan sementara pada Aidilfitri kali ini dengan melibatkan masing-masing seorang banduan berbangsa Melayu dan Cina.
“Ini merupakan perlepasan sementara pertama dilakukan Penjara Kajang pada tahun ini berdasarkan Seksyen 43 Akta Penjara 1945.
“Antara syarat kelayakan yang perlu dipatuhi penghuni termasuklah telah menjalani hukuman sekurang-kurangnya selama empat tahun selain berbaki satu tahun lagi hukuman dan berkelakuan baik sepanjang tempoh tahanan,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











