LONDON – Keluarga Scharer yang memenangi satu pertandingan untuk menginap di Pulau Bardsey di pesisiran Wales dilaporkan hanya sanggup tinggal selama sehari di pulau terpencil itu sebelum mengalah dan menarik diri pada awal tahun ini.
Ned Scharer, 44, dan isterinya, Sophie, 45, bersama anak lelaki mereka, Sam, 10, dan anak perempuan, Rowan, 12, sebelum ini mengalahkan 50 peserta lain untuk menjadi warden pulau tersebut dengan gaji £16,500 (RM87,000).
Mereka sepatutnya hidup di pulau itu selama tiga tahun bagi menguruskan pusat perlindungan alam sekitar, sebuah ladang dan tapak pemantauan burung liar.
Bagaimanapun, pada hari pertama mereka tiba di pulau tersebut, Sam mengalami kecederaan kaki selepas terjatuh ketika mahu turun dari bot yang membawa mereka ke sana menyebabkannya dihantar ke sebuah hospital dengan menggunakan sebuah helikopter untuk menerima rawatan.
Sam kemudian pulang ke rumah bersama ibu dan kakaknya.
Ned pula tinggal bersendirian di pulau itu yang menerima kedatangan 2,000 pelancong setiap tahun selama lebih sebulan sebelum menyedari dia tidak mampu menguruskan tugas-tugas yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur di pulau tersebut.
Dia kemudian memilih untuk pulang ke rumah mereka di Llanrwst dalam daerah Conwy, Wales.
“Saya berasa sedih tetapi kecederaan Sam itu membuatkan keputusan kami untuk menarik diri daripada tugas sebagai warden pulau itu lebih mudah. Ia sesuatu yang tidak dijangka dan tidak dapat dielakkan,” kata Ned baru-baru ini seperti dilaporkan akhbar The Sun.
Yayasan Pulau Bardsey kini sedang mencari warden baharu bagi mengambil alih tugas menjaga dan memantau Pulau Bardsey untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Pulau itu sebelum ini dijaga Steve Porter dan isterinya, Joanna bersama dua anak mereka, Ben dan Rachel sejak mereka berpindah ke sana pada tahun 2007 tetapi memilih untuk meninggalkannya tahun lalu selepas anak mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti. – Agensi











