Agihan sumbangan kepada gelandangan, miskin bandar diselaras - Utusan Malaysia

Agihan sumbangan kepada gelandangan, miskin bandar diselaras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bermula esok pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, agensi kerajaan dan orang ramai yang ingin memberi memberi sumbangan dalam bentuk makanan kepada golongan gelandangan diminta berurusan secara terus dengan Pengarah, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL 3, Jalan Raja Abdullah di sini.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin memaklumkan penyelarasan ini dibuat bagi memudahkan jadual agihan, golongan sasar, kuantiti serta bentuk sumbangan dan waktu agihan disusun supaya sumbangan tersebut dapat disalur dengan lebih tepat dan mengelakkan pembaziran.

Menurutnya, keputusan itu dibuat hasil perbincangan DBKL bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Kebajikan Negara(YKN), Alam Flora Sdn. Bhd., serta 15 NGO khusus untuk mengatasi masalah lebihan sumbangan baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pertemuan tersebut, DBKL telah bersetuju agar sumbangan tersebut turut diberikan kepada penduduk yang termasuk dalam kategori miskin bandar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu.

“Sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal sumbangan kepada golongan gelandangan dan miskin bandar termasuk makanan dan pakaian dilihat amat menggalakkan.

“Daripada pemerhatian DBKL, sumbangan tersebut telah sampai ke tahap berlebihan dan berlaku pembaziran. Ini berkemungkinan berlaku kerana terdapat lebihan tawaran serta kurangnya kawalan daripada segi pengagihan.

“Keadaan ini telah menyumbang kepada masalah kebersihan serta kerugian kepada kedua-dua pihak iaitu penyumbang dan penerima,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, penyelarasan ini akan dilakukan secara berterusan iaitu pihak JKM dan YKN akan terus memberi tumpuan kepada golongan gelandangan di pusat bandar manakala DBKL akan memberi tumpuan golongan miskin bandar di PPR dan PA.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini