BESUT – Ketupat palas, tapai pulut dan lemang tetap menjadi juadah istimewa untuk dinikmati masyarakat setempat pada pagi 1 Syawal yang bakal disambut esok.
Kesempatan itu diambil ramai pengusaha ketiga-tiga juadah raya terbabit untuk membuka gerai masing-masing seawal pukul 6.30 pagi tadi di sekitar pekan Jerteh di sini bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Antara kawasan tumpuan peniaga ketupat palas, tapai pulut dan lemang yang datang dari segenap kawasan di daerah ini termasuk Kampung Renek, Tasik Tok Lebai, Gong Ubi Keling dan Tempinis ialah Jalan Tuan Hitam yang terletak di lokasi strategik di tengah-tengah pekan Jerteh di sini.
Seorang pengusaha ketupat palas, Kelsom Jusoh, 60, dari Kampung Tempinis berkata, dia masih mengekalkan harga ketupat palas lemak pada harga 70 sen sebiji, ketupat palas manis (80 sen) dan ketupat palas serunding (90 sen) walaupun harga berat pulut yang menjadi asas pembuatannya telah meningkat sejak akhir-akhir ini.
“Hari ini saya menjual 1,000 biji ketupat palas pelbagai jenis dan ia habis dijual menjelang pukul 12 tengah hari (ini)” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Zukianwani Nawawi, 30, dari Kampung Gong Ubi Keling memberitahu, dia membawa 2,000 biji tapai pulut termasuk pulut hitam yang dijual pada harga 35 sen hingga 40 sen sebiji untuk jualan hari ini.
Bagi pengusaha lemang dari Kampung Gerai,Tua, Mustaffa Sulaiman, 51, pula, harga lemang jualannya masih berharga RM7 hingga RM8 sebatang walaupun sekampit beras pulut seberat 50 kilogram kini berharga RM225 berbanding RM188 pada tahun lalu.
“InsyaAllah saya masih bertahan (mengekalkan harga lemang), yang penting kita dapat berkongsi kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok,” katanya. – K! ONLINE











