PORT DICKSON – Kesedaran orang awam berhubung keselamatan kediaman mereka semasa musim perayaan, semakin meningkat melalui penghantaran borang maklumat balik kampung kepada pihak Polis Diraja Malaysia.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed Aidi Sham berkata, sejak sebulan lepas, pihaknya telah memberi atau memaklumkan awal kepada masyarakat yang hendak meninggalkan rumah semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Kebanyakan penduduk sudah menghantar borang balik kampung atau maklumat kepada pihak polis untuk kita buat rondaan ke kawasan tersebut untuk mengelakkan kes jenayah selain memastikan keselamatan rumah mereka terjaga.
“Dengan ini ia memudahkan lagi pihak polis untuk membuat rondaan di sekitar kawasan rumah yang ditinggalkan semasa musim perayaan nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Ops Selamat 15 Sempena Perayaan Hari Raya 2019 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, M. Ravi. – Bernama










