Warga emas rugi RM6,500 dirompak - Utusan Malaysia

Warga emas rugi RM6,500 dirompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas kerugian RM6,500 apabila dirompak sekumpulan penjenayah di kediamannya di Jalan Lanang, Sibu, Sarawak hari ini.

Menurut portal berita Utusan Borneo, Timbalan Ketua Polis Sibu, Superintenden Martin Koo berkata, mangsa yang sedang tidur didatangi empat lelaki bertopeng dan bersenjata kayu dan parang sekitar pukul 5.30 pagi.

“Seorang daripada suspek telah mengacukan parang di leher mangsa manakala tiga yang lain menggeledah rumahnya untuk mencari barang berharga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas mengambil barangan milik mangsa, seorang daripada suspek yang memegang kayu telah bertindak memukul paha kanan serta kaki mangsa sehingga lebam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Martin memberitahu, kumpulan yang menutup muka menggunakan kain itu masuk ke rumah mangsa dipercayai dengan mengumpil pintu hadapan.

“Kesemua suspek dipercayai Bumiputera kerana semasa mangsa bertutur dalam Bahasa Cina merayu tidak dicederakan, kesemua suspek tidak faham. Hanya selepas mangsa bertutur dalam Bahasa Melayu baru mereka menyatakan ‘okey’,” jelasnya.

Ujar Martin, antara barang dilaporkan hilang dalam kejadian itu termasuk dompet berisi wang tunai dan dokumen penting, tiga buah telefon bimbit, beg sandang berisi sejumlah wang tunai dan seutas jam tangan.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera semasa rompak berkumpulan dengan senjata. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini