LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan akan meningkatkan pemeriksaan keselamatan antaranya melibatkan bot dan feri semasa cuti panjang Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini serta penyeludupan.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Labuan, Kapten Maritim, Che Adnan Md Isa berkata, pemeriksaan mengejut dilakukan bagi menentukan operator bot penumpang serta feri mematuhi sepenuhnya prosedur keselamatan.
“Kita tidak mahu ada laporan tentang bot dan feri terlebih muatan terutama pada musim perayaan ini kerana soal keselamatan penumpang sangat penting.
“Lebih banyak pemeriksaan dilakukan terhadap feri dan bot termasuk pemeriksaan terhadap keadaan umum kenderaan itu serta memastikan alat memadam kebakaran serta peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik,” katanya.
Sehubungan itu, Che Adnan meminta semua pihak termasuk syarikat perkapalan serta pengusaha feri dan terminal agar memainkan peranan bagi mengelakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini di tengah lautan.
Tambahnya, pemeriksaan mengejut akan diteruskan sehingga musim perayaan berakhir dan menambah kehadiran anggota penguatkuasa di lapangan akan ditambah bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dalam kalangan semua pihak. – BERNAMA











