KOTA BHARU – Walaupun pasar raya besar Mydin Kubang Kerian, di sini sesak dengan orang ramai, suasana itu sedikit pun tidak merimaskan atau melemahkan semangat 100 asnaf daripada 18 keluarga yang dibawa membeli-belah baju raya di situ menerusi Program Kongsi Raya, pagi ini.
Wajah mereka tetap kelihatan bersemangat dan ceria, termasuk seorang remaja lelaki yang gelagatnya berjaya mencuri perhatian petugas media. Dia ketika itu begitu teruja mahu mencuba sepasang baju Melayu ungu.
Dalam nada sedikit berbisik, dia sempat berkata sesuatu kepada abangnya yang kelihatan agak malu-malu.
“Bestnya bang. Kita ada baju raya sendiri tahun ini. Lama dah orang nak baju Melayu lengkap sepasang macam ni,” katanya.
Walaupun perlahan, butir-butir perbualan itu masih dapat didengari pemberita, sekali gus menimbulkan rasa terharu kerana Program Kongsi Raya tersebut yang turut dijayakan petugas media benar-benar mencapai matlamat membawa keceriaan kepada para penerima.
Salah seorang penerima bantuan itu, Zaliha Hassan, 47, mengakui perkara itu apabila memberitahu, 11 anaknya yang berusia tujuh hingga 23 tahun sudah bertahun-tahun lamanya tidak membeli baju raya kerana kesempitan hidup ditanggung mereka sekeluarga.
Katanya, masalah mereka bermula apabila suaminya. Muhd. Fauzi Mat Husin, 50, seorang penjual ais, jatuh sakit 13 tahun lalu akibat komplikasi penyakit buah pinggang, gout selain mengalami gangguan mental.
“Anak sulung sudah tamat belajar dan baru dapat kerja di Selangor. Dialah harapan keluarga untuk sara adik-adik lain yang masih bersekolah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Rosmiza Kasim memberitahu, Program Kongsi Raya merupakan kesinambungan kepada ‘Jom Kita Kongsi Ramadan’ yang berlangsung sepanjang bulan puasa.
Katanya, program itu anjuran bersama Kemudi dengan Kelantan Creative TV (KCTV), Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, Royal Guest House (RGH) dan badan bukan kerajaan (NGO) Nothing To Hide.
“Kongsi Raya hari ini adalah kemuncak kepada Jom Kita Kongsi Ramadan. Seramai 100 asnaf daripada 18 keluarga yang terpilih menerima sumbangan baju raya, barangan keperluan harian dan biskut raya dengan nilai keseluruhan berjumlah RM10,000,” katanya.
Yang turut hadir, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan Datuk Zamri Ismail, Setiausaha Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan Muhammad Imran Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif RGH Raja Rusmin Raja Mahmud, Pengarah Operasi KCTV Kelantan Norazwatul Akmal Kasmuri.
Sempena program itu hari ini, Iqbar Hakim Jasman. 20, anak sulung pengasas kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad turut tampil meluangkan masa menyampaikan zakat kepada para asnaf terbabit bagi pihak ibunya. – UTUSAN ONLINE











