ALOR SETAR – Nasib malang yang menimpa sekumpulan bekas pekerja pembersihan dan kawasan sekolah yang hilang pekerjaan baru-baru ini mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang tampil menghulurkan bantuan kepada mereka.
NGO yang dikenali sebagai Skuad Senyum itu hari ini menyumbangkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, telur, bihun, tepung, kicap dan gula bagi meringankan beban ditanggung bekas pekerja terlibat.
Malah, mereka turut menyampaikan duit raya kepada setiap bekas pekerja tersebut yang difahamkan melibatkan 70 orang dari beberapa buah sekolah di sekitar negeri ini.
Sumbangan tersebut antara lain bagi menceriakan kumpulan bekas pekerja pembersihan berkenaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, walaupun kesemua mereka masih runsing memikirkan cara untuk menyara keluarga masing-masing selepas ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sembilan daripada bekas pekerja tersebut di sebuah sekolah menengah di Kubang Pasu, dekat sini terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan 31 Mei lalu merupakan tarikh akhir mereka berkhidmat sebagai tukang cuci.
Ini berikutan format tender baharu yang dikeluarkan untuk kerja-kerja tersebut sehingga mengakibatkan kira-kira separuh daripada 90,000 pekerja kategori itu di seluruh negara ditamatkan perkhidmatan.
Sementara itu, seorang bekas pekerja terlibat, Noralam Shah Dol, 63, terharu apabila ada pihak yang sudi membantu mereka dengan menyampaikan barangan-barangan berkenaan.
Menurutnya, mereka bersyukur kerana dalam keadaan perit ketika ini, rezeki tersebut datang tanpa diduga yang sedikit sebanyak menceriakan mereka sekeluarga yang sedang menanggung beban.
“Walaupun kami sedih kerana tidak bekerja lagi tetapi pemberian ini sekurang-kurangnya mampu mengukir senyuman di bibir kerana ramai juga golongan muda yang masih memiliki anak kecil terlibat dengan pemberhentian terbabit,” katanya. – UTUSAN ONLINE











