KUANTAN – Pemegang konsesi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) Anih Berhad menafikan dakwaan berlaku simbahan minyak di Kilometer 75.7 lebuh raya itu, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Sebaliknya, Anih Berhad menerusi kenyataan media di sini hari ini berkata, kejadian yang tular itu merupakan insiden lama yang berlaku pada 6.28 petang, 3 Julai 2017.
“Ia adalah kemalangan lama membabitkan tujuh kenderaan yang berlaku akibat kesan daripada tumpahan minyak akibat daripada kemalangan di lokasi sama sebelumnya,” menurut kenyataan itu.
Penularan mesej di KM75.7 itu merupakan insiden kedua yang membabitkan lebuh raya itu pada bulan ini, selepas insiden pertama kononnya berlaku tumpahan minyak antara Km46.2 hingga KM46.8 arah timur berhampiran Bukit Tinggi.
Sehubungan itu, Anih Berhad meminta orang ramai untuk menghentikan penularan mesej terbabit kerana dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan dan suasana panik, terutamanya semasa orang ramai rancak pulang ke kampung bagi menyambut hari raya Aidilfitri. – Bernama











