PULAU PINANG – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri menggesa agar agihan sumbangan zakat oleh ahli politik bukan Islam di negeri ini dihentikan dengan segera.
Ketua Penerangan GPMS negeri, Azdy Mohd. Arshad berkata, Zakat Pulau Pinang (ZPP) tidak harus menunding jari kepada pihak lain dan mendakwa insiden itu sengaja diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu.
“ZPP wajib bertanggungjawab dan berani berubah demi mempertahankan kesucian Islam dan memelihara maruah umat Islam negeri ini.
“GPMS juga ingin mengingatkan ZPP agar tidak terus menjadi kuda tungangan kepada parti dan ahli politik bukan Islam dan tidak tunduk kepada tekanan atau desakan politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa ahli politik bukan Islam di negeri ini mengedarkan kit bantuan zakat kepada penduduk Islam sehingga menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan umat Islam.
ZPP dalam kenyataan menjelaskan bahawa situasi berkenaan adalah di luar kawalan agensi berkenaan.
Menurut Azdy Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP), Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) termasuk pihak kariah masjid perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam merancang dan menkoordinasi pemberian sumbangan zakat kepada golongan asnaf di seluruh negeri ini supaya lebih sistematik dan efisyen. – UTUSAN ONLINE











