MUGELLO – Pelumba tuan rumah yang memacu jentera Ducati, Danilo Petrucci berjaya menyekat kemenangan Marc Marquez, selepas dia meraih kejayaan sulung dalam perlumbaan kelas utama MotoGP pada Grand Prix Motosikal Itali di Mugello, hari ini.
Petrucci mencatat masa terpantas 41 minit 33.794 saat (s), manalala juara dunia, Marquez dari Sepanyol muncul selaku naib juara (41:33.837s) dan seorang lagi pelumba Itali, Andrea Dovizioso melengkapkan saingan di kedudukan ketiga (41:34.132s).
Menamatkan perlumbaan di tempat kedua, membolehkan Marquez melebarkan kedudukannya sebagai pendahulu dalam kejuaraan motosikal dunia, mengatasi pencabar terdekatnya, Dovizioso yang berada di tangga kedua.
Marquez yang memacu jentera Honda mendahului perlumbaan buat seketika dalam pusingan terakhir, tetapi Petrucci berjaya merampas kedudukan pertama dan sekali gus memenangi perlumbaan.
Sementara itu, pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah yang bernaung di bawah pasukan Red Bull KTM Tech 3 gagal menamatkan aksinya ketika saingan berbaki 14 pusingan.
Anak muda kelahiran Selangor itu berjaya mengutip mata sulungnya, musim ini, dalam perlumbaan terakhir di Le Mans, tetapi malangnya dia gagal melengkapkan saingan di Itali.
KEPUTUSAN MOTOGP:
1. Danilo Petrucci (ITA/Ducati) 41:33.794s (23 pusingan)
2. Marc Marquez (ESP/Honda) 41:33.837s
3. Andrea Dovizioso (ITA/Ducati) 41:34.132s
4. Alex Rins (ESP/Suzuki) 41:34.329s
5. Takaaki Nakagami (JPN/Honda) 41:40.329s











