Kasma enggan terburu-buru - Utusan Malaysia

Kasma enggan terburu-buru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP pelumba jentera dua roda pastinya memasang impian untuk beraksi pada perlumbaan paling tinggi iaitu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Namun bagi pelumba muda negara, Kasma Da­niel Kasmayudin sedikit berlainan apabila dia mengambil keputusan tidak mahu terburu-buru, sebaliknya mahu mengecapi kejayaan di peringkat bawah sebelum diangkat ke perlumbaan berprestij tersebut.

Demi mengejar impian bergelar pelumba profesional, Kasma kini telah mengharungi semua kelas perlumbaan Cub Prix dan anak jati Johor Bahru tersebut melakukan kejutan, apabila berjaya mencipta kejayaan hatrik bagi kelas CP115 (2015), CP130 (2016) dan CP150 (2017).

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemenangan tersebut telah membuka mata pelbagai pihak apabila Kasma juga mendapat kepercayaan pasukan Yamaha Finson Racing untuk beraksi dalam perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada tahun 2015 dan 2016.

Keputusan positif tersebut membolehkan Kasma dipanggil oleh Yamaha Motor Co. Ltd. untuk berguru dengan pelumba terbaik dunia, Valentino Rossi menerusi Kem Master, VR46 Riders Academy, milik pelumba kelahiran Itali itu di Tavullia pada Jun 2016.

Pada tahun 2019, Kasma menyertai Program Pembangunan Bakat Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) untuk beraksi bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior.

“Kita tahu perlumbaan di MotoGP bukan mudah dan perlukan persiapan yang rapi. Saya tidak mahu tergesa-gesa kerana sedar peluang itu ada, cuma perlu buktikan kemampuan saya pada perlumbaan di CEV dahulu kepada pasukan.

“Saya mahu memberi tumpuan pada perlumbaan di CEV dahulu dan kalau boleh, mahu meraih kemenangan podium. Jika saya berjaya meraih banyak kemenangan di pentas CEV, barulah kita akan fikir hendak ke MotoGP supaya mampu membawa pengalaman ke saingan tersebut.

“Jika saya sudah mengecapi kejayaan, saya rasa tiada masalah untuk beraksi dalam perlumbaan MotoGP nanti. Siapa tak nak beraksi di pentas MotoGP dan ia adalah impian setiap pelumba. Bagi saya fokus utama memburu kemenangan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Selain perlumbaan CEV, Kasma atau terkenal dengan gelaran ‘The Dragon Boy’ juga ditugaskan untuk beraksi dalam perlumbaan ARRC musim ini bersama pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia, namun keutamaan baginya adalah memburu kejuaraan di CEV.

“Pada perlumbaan tahun ini saya agak sibuk kerana akan beraksi dalam dua kejohanan iaitu ARRC dan CEV. Tetapi fokus saya pada perlumbaan di CEV.

“Kalau boleh, saya juga tidak mahu abaikan perlumbaan di ARRC kerana pada pusingan pertama saya berjaya menaiki podium. Jadi, saya mahu meraih kemenangan di ARRC agar dapat memperbaiki tunggangan dengan lebih baik,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini