KUANTAN – Seorang pesara kerajaan di sini terpaksa berputih mata apabila wang simpanan bersama suaminya berjumlah RM58,400 lesap akibat terpedaya dengan penipuan sindiket Macau Scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 29 Mei lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa dari Pejabat Pos Laju Kuala Lumpur.
Katanya, wanita berkenaan memberitahu terdapat satu notis dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kota Kinabalu, Sabah berhubung urusan saham kerana mangsa tidak membayar cukai dan akan diambil tindakan.
“Selepas itu, pengadu disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Sabah dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Azizul yang mengambil keterangan melalui telefon dan memaklumkan kes berhubung tidak membayar cukai selesai.
“Mangsa diberitahu oleh Sarjan Azizul dia terlibat dengan kes yang lebih besar iaitu penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram. Lelaki itu akan menolong mangsa untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, selepas itu, panggilan mangsa disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bercakap dengan seorang pegawai yang bersetuju membantu dengan syarat perkara tersebut perlu dirahsiakan.
“Mangsa diminta membayarkan wang bagi menyelesaikan kes dan membuat pembayaran jaminan berkaitan aktiviti pengubalan wang haram dan dadah. Mangsa mengeluarkan duit simpanan peribadi miliknya dan milik suami.
“Mangsa telah memasukkan wang sebanyak 14 kali transaksi ke dalam akaun bank diberikan suspek. Mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam,” katanya.
Jelasnya, modus operandi suspek adalah memperdaya dengan menyamar sebagai pihak polis dan meminta mangsa memasukkan wang bagi menyelesaikan kes.
Jelasnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











