MILAN – Jurulatih baharu Inter Milan, Antonio Conte enggan mengesahkan spekulasi yang me-ngaitkan kelab Serie A tersebut dengan dua penyerang Manchester United, Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez pada musim panas ini.
Lukaku dan Sanchez sebelum ini dilaporkan berada dalam radar Inter sebelum Conte dilantik menggantikan Luciano Spalletti minggu lalu.
Perubahan itu gagal memadam spekulasi tersebut selepas skuad The Nerazzurri dilihat menjadi destinasi yang sesuai buat Lukaku dan Sanchez kerana layak beraksi dalam Liga Juara-Juara berbanding United yang hanya beraksi dalam saingan Liga Europa sahaja musim depan.
Bagaimanapun, Conte enggan mengulas lanjut berhubung khabar angin tersebut kerana dia baru sahaja mengambil alih kerusi jurulatih dan memerlukan masa bagi menilai keperluan pasukan.
“Saya fikir ini bukan masa sesuai untuk bercakap mengenai perkara ini (perpindahan). Apa yang pasti, saya ada perancangan tersendiri untuk mengukuhkan pasukan ini bagi berdepan saingan musim depan yang lebih mencabar.
“Namun, jika saya seorang sahaja yang bekerja keras, kami tidak akan ke mana-mana tanpa kemahuan dan cita-cita yang besar daripada pemain pasukan ini sendiri. Kami perlu bekerjasama dan menganggap semua orang di sini seperti keluarga,” kata Conte.
Pada masa sama, bekas pengurus Chelsea itu menafikan kelabnya sudah mengadakan pertemuan dengan wakil Lukaku dan Sanchez selain menyerahkan segala urusan perpindahan kepada Pengarah Sukan Inter.
“Saya ulang sekali lagi, tidak ada sebarang pertemuan atau perbincangan seperti yang dilaporkan. Namun, kami sentiasa memantau pasaran perpindahan pemain. Bagi saya, hanya Pengarah Sukan kelab ini sahaja yang boleh menjawab berhubung sebarang urusan perpindahan pemain,” ujarnya. – Agensi











