Aksi pemanas badan terbaik Harimau Malaya - Utusan Malaysia

Aksi pemanas badan terbaik Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan perlawanan persahabatan bertemu Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini adalah pentas pemanas badan terbaik buat pasukannya menjelang aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 berdepan Timor-Leste.

Menurutnya, Nepal yang menduduki ranking ke-161 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berbanding Malaysia (168) mempunyai keupayaan yang hampir sama dari segi fizikal serta dibarisi ramai pemain muda.

Cheng Hoe memberitahu, ia merupakan ujian penting buat pasukan untuk mendapatkan rentak sebenar sebelum melakukan perhitungan dengan Timor Leste.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya ia adalah aksi pemanas badan yang sangat bagus untuk pasukan memandangkan keupayaan Nepal adalah setanding dengan Malaysia.

“Saya melihat corak perlawanan dan juga fizikal mereka adalah hampir sama selain mereka turut mempunyai ramai pemain muda.

“Jadi, pemain kita perlu melakukan yang terbaik kerana ia adalah ujian penting untuk melihat ke­upayaan pasukan sebelum berdepan Timor Leste,” katanya pada sidang media praperlawanan di Bukit Jalil semalam.

Selepas bertemu Nepal, skuad Harimau Malaya kemudian akan mengharungi aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste di venue sama pada 7 Jun dan 11 Jun.

Sementara itu, Cheng Hoe me­ngakui skuad negara perlu berwaspada dengan pencapaian semasa Nepal kerana pasukan berkenaan sentiasa menunjukkan peningkatan yang baik.

“Berdasarkan statistik, Nepal te­lah berjaya mengikat Kuwait de­ngan keputusan 0-0 dalam pada bulan Mac meskipun ketika itu mereka beraksi sebagai pasukan pelawat.

“Pada masa sama, kita juga perlu mengawasi pemain mereka yang beraksi di Liga Indonesia bersama Persija Jakarta, Rohit Chand kerana dia merupakan pemain terbaik Nepal pada tahun 2018,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini