Droupr sistem mudah car pool untuk balik raya - Utusan Malaysia

Droupr sistem mudah car pool untuk balik raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULANG ke kampung halaman untuk menyambut kedatangan Syawal bersama keluarga tercinta pastinya merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, memandu secara berseorangan bagi perjalanan jarak jauh pasti membuatkan individu mudah mengantuk, kebosanan dan letih. Lebih-lebih lagi apabila perjalanan dilakukan pada waktu malam atau sebaik tamat waktu bekerja.

Mengambil kira situasi tersebut, seorang eksekutif pembangunan perniagaan, Qatrun Nadhrah Samat Yahya, 30, terpanggil untuk menawarkan tempat duduk kosong yang pada kenderaannya kepada orang ramai menerusi aplikasi Droupr.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada waktu itu, saya ingin pulang ke kampung di Sungai Besar, Selangor bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Saya rasa membazir jika memandu berseorangan. Jadi, saya mengambil alternatif untuk menumpangkan orang menerusi aplikasi Droupr.

“Seronok apabila perjalanan jauh itu tidak terasa kerana ditemani kenalan baharu.Ia bukan sahaja dapat mengurangkan kebosanan meredah laluan trafik yang tidak menentu terutamanya pada musim perayaan, tetapi juga membantu orang awam menuju ke destinasi diingini,” ceritanya.

Droupr merupakan sebuah platform yang menyediakan perkhidmatan carpool atau pengangkutan perkongsian terbaharu untuk dinaiki oleh orang awam di negara ini.

Menerusi platform yang disediakan, ia membolehkan pemilik menawarkan lebihan tempat duduk yang terdapat pada kenderaan mereka kepada orang awam yang ingin menuju ke destinasi yang sama.

Dengan kata mudah, konsep yang diketengahkan ini lebih kurang sama seperti ‘kereta sapu’ yang dahulu merupakan antara salah satu bentuk pengangkutan di negara ini.

Lebih menarik, platform yang disediakan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak itu boleh digunakan dengan mudah di hujung jari menerusi aplikasi Droupr yang boleh dimuat turun ke telefon bimbit masing-masing.

Kongsi kenderaan

Menurut Pengarah Eksekutif Droupr, Nelson Rizal Radzmi, idea asal untuk membangunkan platform ini diperoleh daripada salah seorang pengasasnya, Hasrul Hisham Hashim.

“Hasrul bekerja di sebuah syarikat di Klang, Selangor. Bagaimanapun, pada setiap minggu, dia terpaksa berulang alik ke Sungai Petani, Kedah bagi menjenguk keluarganya yang menetap di kampung.

“Kepenatan memandu pada jarak jauh setiap kali hujung minggu membuatkan Hasrul terfikir untuk mewujudkan sebuah konsep yang mana orang ramai boleh berkongsi kenderaan untuk ke sesebuah destinasi.

“Idea tersebut kemudian dimaklumkan kepada salah seorang lagi pengasas, Shukri Saad yang juga merupakan seorang pengaturcara pengkomputeran dan kemudian membangunkan platform Droupr,” jelasnya.

Cerita Nelson lagi, kewujudan Droupr secara tidak langsung memberi orang awam lebih banyak pilihan dalam menentukan jenis pengangkutan awam yang ingin dinaiki mengikut keselesaan masing-masing.

“Ini merupakan salah satu inisiatif yang boleh digunakan oleh orang awam jika mereka gagal mendapatkan pengangkutan awam pada waktu diinginkan.

“Konsep yang diketengahkan sangat mudah. Mengambil contoh, sebuah kenderaan yang boleh memuatkan empat orang penumpang termasuk pemandu pada satu-satu masa. Jika pemilik kenderaan memandu berseorangan, ironinya kenderaan tersebut mempunyai tiga kekosongan.

“Daripada situ, pemilik boleh memasukkan maklumat lengkap seperti arah perjalanan, bilangan tempat duduk yang ditawarkan, caj yang dikenakan dan lain-lain lain pada aplikasi Droupr untuk ditawarkan kepada orang ramai.

“Secara tidak langsung, ia bukan sahaja memudahkan urusan penumpang untuk ke destinasi yang dituju, tetapi juga membantu pemilik kenderaan untuk menjimatkan kos perjalanan, selain mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada cuti perayaan,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai platform tersebut menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdullah Sabri Mohd. Noor pula, perkhidmatan yang ditawarkan Droupr tidak memerlukan kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan memandangkan ia berdasarkan konsep penawaran daripada pemilik kenderaan itu sendiri.

“Di sini pengguna perlu menunggu kekosongan yang ditawarkan oleh pemilik kenderaan untuk ke sesebuah lokasi pada aplikasi Droupr. Tiada had untuk usia kenderaan asalkan selagi ia berada dalam keadaan baik dan boleh bergerak ke destinasi yang dituju.

“Mereka akan dikenakan caj bersesuaian dengan jarak perjalanan yang dilakukan. Kebiasaannya, caj yang dikenakan bermula dari RM20 dan ia bergantung kepada lokasi yang dituju.

“Biarpun perjalanan berbayar, namun Droupr ini lebih mengamalkan konsep perkongsian yang mana setiap penumpang akan dikenakan caj yang sama bagi membolehkan pemilik kenderaan menampung kos perjalanan seperti minyak dan tol.

“Sebab itu kita menggunakan tanda pagar (#tongtongje) bagi mempermudahkan orang ramai untuk faham konsep yang diterapkan pada sistem ini,” jelasnya.

Menurut Abdullan Sabri lagi, pihaknya kini sedang dalam usaha memasukkan pelan insurans ke dalam Droupr.

Selamat digunakan

Biarpun baru sahaja tiga tahun diperkenalkan, namun, platform tersebut diterima baik dan mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan orang awam.

Sehingga ke hari ini, Droupr telah dimuat turun oleh lebih 50,000 pengguna.

Sementara itu sepanjang tempoh beroperasi pula, Droupr berjaya menyempurnakan sebanyak 6,672 perjalanan dengan 18,422 tempat duduk.

“Rata-rata pengguna yang menggunakan khidmat ini ialah pelajar dan golongan bekerjaya yang masih lagi bujang berumur dalam lingkungan 18 hingga 32 tahun.

“Setakat ini jarak paling jauh dan paling banyak mendapat sambutan ialah ke Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Permintaan tinggi selalunya pada cuti perayaan atau sekolah. Sehingga ke satu tahap kesemua tempat duduk yang disewakan penuh sehingga ada yang menelefon dan merayu-merayu kepada kami,” jelasnya.

Menyentuh mengenai aspek keselamatan pula, menurut Abdullah Sabri lagi, ciri-ciri keselamatan yang ditekankan pada sistem tersebut membolehkan orang ramai kini tidak perlu ragu-ragu untuk menggunakan Droupr.

“Droupr direka bentuk untuk mewujudkan komuniti berasaskan kepercayaan yang mana identiti penuh pemilik kenderaan akan dinyatakan secara penuh pada profil.

“Ini kerana sebelum menggunakan aplikasi tersebut, pengguna diwajibkan untuk mendaftar dalam sistem kami dengan memasukkan kad pengenalan untuk pengesahan alamat rumah selain e-mel, dan nombor telefon yang sah.

“Malah kami turut meletakkan butang distress signal atau isyarat kecemasan yang membolehkan individu tekan dan dihubungkan secara terus kepada ahli keluarga jika sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Sementara itu menurut seorang lagi rakan kongsi, Naim Ahmad, biarpun perkhidmatan tersebut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang kukuh, namun pihaknya masih berhadapan dengan cabaran untuk meraih keyakinan orang awam.

“Sukar untuk mengubah stigma masyarakat hari ini apabila ada yang masih rasa takut-takut untuk menggunakan perkhidmatan carpool memandangkan ia masih lagi baharu di negara ini.

“Padahal, ia sama sahaja seperti menaiki teksi atau pengangkutan awam yang lain kerana kita tidak mengenali pemandu secara peribadi. Malah konsep ini banyak digunakan di negara luar.

“Cuma apa yang membezakan kami ialah Droupr bukan untuk keuntungan tetapi lebih kepada konsep berkongsi iaitu menggunakan kenderaan yang ada untuk dimanfaatkan bersapa individu lain yang memerlukan,” jelasnya.

Droupr bangunkan sebuah platform yang menyediakan perkhidmatan berkongsi kenderaan peribadi atau car pool dengan cara menawarkan lebihan tempat duduk kepada orang awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini