KENINGAU 31 Mei – Polis menasihatkan pengguna supaya berhati-hati di empat kawasan hitam dikenal pasti sering berlaku kemalangan ketika pulang menyambut Aidilfitri di daerah berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, empat lokasi tersebut ialah di sepanjang lapan kilometer di Jalan Tambunan-Keningau; Jalan Keningau-Sook (sepanjang 14 kilometer) dan di kilometer empat hingga 10 Jalan Keningau-Kimanis.
“Saya meminta kepada semua pemandu supaya lebih berhati-hati ketika melalui lokasi itu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Op Selamat Hari Raya serta program memasak dan pengagihan bubur lambuk anjuran Ibu pejabat Polis Daerah Keningau dengan kerjasama Jabatan Penerangan Keningau, di sini hari ini.
Shahrudin berkata, setiap pemandu perlu menerapkan pemanduan berhemah ketika pulang bercuti kerana ia sangat penting dalam memastikan keselamatan mereka sepanjang perjalanan selain tidak memandu ketika di bawah pengaruh alkohol.
Menurutnya, statistik kemalangan direkodkan pada Op Selamat sepanjang Hari Raya pada tahun lepas menunjukkan 27 kes melibatkan satu kes kemalangan maut.
Dalam pada itu, Shahrudin berkata, 333 kes kemalangan direkodkan di daerah itu sepanjang Januari hingga Mei tahun ini, iaitu menurun 11 kes berbanding 344 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas.
Tambahnya, penurunan kes itu sekali gus menunjukkan ada kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna. – BERNAMA











