SABAK BERNAM – Luluh hati seorang lelaki apabila menemui mayat abangnya dalam keadaan tragis dengan isi perutnya dipercayai dimakan haiwan liar di bilik air di Jalan Haji Hassan, Kampung Parit Baru, Sungai Air Tawar, di sini, semalam.
Mayat Rujali Leman, 69, yang telah berulat itu ditemui selepas empat hari meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam.
Mohd. Daud Mat Lehan, 56, berkata, dia pergi menziarahi Rujali yang tinggal bersendirian selepas berbuka puasa bersama keluarganya.
Katanya, dia mula curiga apabila abangnya tidak menyahut panggilannya.
“Saya kemudian mencari mangsa di belakang rumah dan terkejut apabila melihat mayatnya di bilik air.
“Sejurus itu, saya bergegas ke surau berhampiran meminta bantuan jemaah dan menghubungi pihak polis memaklumkan penemuan mayat tersebut,” katanya di sini hari ini.
Jelas Mohd. Daud, abangnya mengidap penyakit mental sejak 30 tahun lalu namun tidak pernah mengganggu penduduk kampung.
Jenazah Allahyarham Rujali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Lim Chee Khoon ketika dihubungi Kosmo! Online mengesahkan kejadian itu.
“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE











