GOMBAK – Seramai tujuh lelaki tempatan ditahan berikutan pembabitan mereka dengan dua kumpulan berasingan yang aktif melakukan kegiatan samun di sekitar Lembah Klang sejak April lalu.
Kesemua suspek yang aktif melakukan samun di kedai serbaneka 24 jam itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan pada 23 hingga 28 Mei lalu di beberapa lokasi sekitar Gombak hasil siasatan serta risikan yang dilakukan oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kumpulan pertama yang berjaya ditumpaskan digelar sebagai kumpulan Dinamik dengan lima orang ahli berusia dalam lingkungan 17 hingga 31 tahun.
“Kesemua ahli kumpulan ini ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar kawasan Gombak pada 23 hingga 28 Mei lalu.
“Modus operandi kumpulan ini adalah menakutkan pekerja kedai serbaneka 24 jam dengan menggunakan parang sebelum melarikan wang tunai, rokok serta telefon bimbit milik mangsa,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.
Tambah Samsor, semakan yang dilakukan ke atas suspek mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah dan polis masih memburu seorang lagi ahli kumpulan terbabit.
Menurut Samsor, kumpulan kedua digelar sebagai kumpulan Awe terdiri daripada dua lelaki berusia 17 dan 18 tahun yang ditahan di sekitar kawasan Selayang pada 25 serta 27 Mei lalu.
“Kumpulan ini juga menggunakan modus operandi yang sama dan hanya menyasarkan kedai serbaneka 24 jam serta mampu mengaut keuntungan kira-kira RM50 hingga RM150.
“Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan turut didapati mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah,” katanya.
Susulan penahanan ketujuh suspek tersebut, polis telah menyita sebanyak lima buah motosikal dan merampas lima bilah senjata tajam, lima buah topi keledar juga seutas rantai emas daripada kedua-dua kumpulan itu.
“Kesemua suspek yang ditahan kini direman hingga 3 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – K! ONLINE











