DUNGUN 31 Mei – Polis akan mempertingkatkan pengawasan di tiga lokasi panas di jalan Persekutuan di daerah ini di samping beberapa lokasi di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang sering berlaku kemalangan maut.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, tiga lokasi itu ialah Kilometer 78, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Pulau Serai diikuti Kilometer 86, Bukit Bauk dan Kilometer 100 di Paka.

Katanya, seramai 20 anggota polis trafik akan ditempatkan di tiga lokasi tersebut bagi memantau aliran trafik dan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan.
“Pemantauan turut dilakukan di beberapa lokasi lain yang kerap berlaku kemalangan di LPT 2 iaitu di laluan Paka, Bukit Besi dan Kuala Dungun bagi mengelak tragedi kemalangan maut berlaku di situ,” katanya kepada pemberita selepas Konvoi Iftar Ramadan PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di sini semalam.
Menurut Baharudin, tahun lalu, Dungun mencatatkan sebanyak 52 kematian akibat kemalangan manakala pada tahun ini sehingga semalam, sebanyak 15 kematian direkodkan.
Katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada sikap pemandu yang mengantuk, melebihi had laju ditetapkan di samping memandu laju dalam keadaan hujan lebat.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 120 pemilik rumah di daerah ini telah mengisi borang meninggalkan kediaman pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Anggota kami akan melakukan rondaan secara bergilir demi menjaga keselamatan kediaman mereka dan kita juga berharap orang ramai dapat memainkan peranan untuk sama-sama membantu menjaga keselamatan kediaman jiran mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











