Lelaki maut treler dipandu bersama isteri, 2 anak terbabas - Utusan Malaysia

Lelaki maut treler dipandu bersama isteri, 2 anak terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG – Seorang lelaki maut manakala isteri dan dua anaknya cedera selepas treler muatan barangan runcit terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dan terbalik di Kilometer 309.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini awal pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5 pagi itu, mangsa, Mohd. Suffian Mahathir, 28, dari Pendang, Kedah itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah. 

Isterinya, Siti Hasfa Suhaila Othman, 26, pula mengalami kecederaan patah tulang bahu kiri manakala dua anak mereka, Muhamad Kusyairi, 5, dan Intan Nur Syazwina, 4, pula masing-masing patah tangan kiri. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat beranak tersebut sedang dalam perjalanan dari Pendang ke Johor. 

“Tiba di tempat kejadian, treler dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu melanggar sebatang pokok dan terbalik. 

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Hasron Nazri,  mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat. 

“Isteri mangsa pula patah bahu kiri serta dua anak mereka patah tangan kiri dan mereka semua dirawat di Hospital Tapah. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini