JIKA sambutan Syawal sebelum ini tidak banyak bezanya buat pelakon Raja Ilya, ternyata tahun ini membawa memori baharu buat dirinya.
Tidak sekadar menyambutnya buat kali pertama sebagai seorang isteri, kongsi Raja Ilya, apa yang paling ditunggunya ketika ini adalah untuk melihat suaminya, Trent Garret merasai kemeriahan Aidilfitri untuk pertama kali dalam hidupnya.
Berkahwin pada 23 Disember lepas di Perth, Australia, Raja Ilya memberitahu, ketika ini Garret yang juga warganegara Australia sudah tidak sabar untuk melalui pengalaman menyambut Aidilfitri di negara ini.
“Katanya kepada saya, Malaysia sebuah negara yang mempunyai budaya yang unik. Jadi dia mahu menjadi sebahagian daripada kemeriahan itu seperti pulang ke kampung dan mengunjungi saudara mara pada hari raya.

“Lantas, untuk tahun ini saya memilih pulang beraya ke Perak. Mula-mula ke Ipoh dan kemudian ke Taiping pula,” ujarnya.
Malah kata Raja Ilya, tahun ini menjadi lebih indah dan bermakna kerana dia mahu memperkenalkan masakan Melayu buat si suami.
“Sebagai isteri saya juga menjalankan tanggungjawab untuk membuat persiapan raya. Cuma persiapan baju masih belum dibuat, namun kami berdua sudah sepakat untuk berpakaian sedondon dengan warna lembut sebagai pilihan.
“Apa yang pasti saya akan memperkenalkan dia dengan masakan Melayu yang popular ketika Syawal seperti rendang. Mujur dia memang menyukai masakan Melayu yang padanya mempunyai rasa yang cukup unik,” tambah Raja Ilya.
Cukup bersyukur kerana suaminya ketika ini memberi ruang untuknya meneruskan kerjaya sebagai pelakon. Namun jelas Raja Ilya, dalam soal ini ada pengorbanan yang perlu dilakukan si suami.
“Pada awalnya saya sendiri yang mahu memperlahankan aktiviti selepas berkahwin untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga. Tetapi bila suami melihat saya bekerja, secara tiba-tiba dia mahu saya terus aktif sebagai seorang pelakon dengan alasan sayang untuk melihat karier saya terkubur begitu sahaja.
“Bagaimanapun dalam masa sama dia juga enggan berjauhan kerana tidak mahu melalui hubungan jarak jauh. Jadi kami sepakat untuk berkorban masa. Untuk bulan ini sehingga pertengahan bulan hadapan dia akan berada di Malaysia.
“Selepas itu kami akan pulang bersama ke Perth dan saya akan tinggal di sana selama tiga bulan sebelum terbang kembali ke negara ini. Nampak memenatkan, namun kami berdua yakin ini adalah yang terbaik.
“Tetapi dalam masa sama memang ada rasa bersalah memandangkan suami menguruskan perniagaan di Perth. Jadi bila dia terpaksa berulang alik saya risau juga dengan perniagaannya. Mujur dia mempunyai rakan kongsi yang memahami dan suami saya juga boleh menguruskan perniagaan secara atas talian sahaja,” katanya yang juga akan menyambung pengajian di sebuah universiti di Perth dalam bidang lakonan tidak lama lagi.











