Didenda RM3,500 aib anak kenalan di Instagram - Utusan Malaysia

Didenda RM3,500 aib anak kenalan di Instagram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mei – Seorang tukang jahit didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengaibkan anak kenalan wanitanya di laman sosial Instagram, bulan lepas.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Nadzreekusairi Shariff, 37, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda tersebut.

Mohamad Nadzreenkusairi didakwa telah mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 37 tahun sehingga mengganggu kesantunan mangsa dengan cara memuat naik kenyataan di Instagram gambar anak mangsa dengan menulis perkataan kesat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Pandan Indah di sini antara 29 April hingga 30 April lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah mengenakan hukuman denda ringan kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap kerana bekerja sendiri menjahit baju.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tertuduh lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan di media sosial.

Menurut fakta kes, mangsa mengetahui status tersebut yang telah dimuat naik di Instagram tertuduh setelah mendapat mesej daripada seorang pengguna IG yang lain. Sejurus selepas menerima mesej itu, mangsa kemudian meminta tertuduh untuk memadam status tersebut.

Tertuduh kemudiannya memadam gambar berserta kenyataan itu namun enggan berbuat demikian dalam IG storynya, menyebabkan mangsa membuat laporan polis. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini