Dua beradik tabah pertama kali beraya sebagai yatim piatu - Utusan Malaysia

Dua beradik tabah pertama kali beraya sebagai yatim piatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 30 Mei – Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi dua beradik di Pinang Tunggal di sini tahun ini bagaikan tidak bermakna apabila buat pertama kali menyambutnya sebagai anak yatim piatu.

Lebih memilukan, Nurul Alisha Maisarah Mohd. Zamri, 12, dan adiknya, Nurul Aliza Umairah, 11, kehilangan ibu mereka akibat sakit jantung sebulan sebelum Ramadan lalu.

Kedua-dua beradik itu sebelum ini disara ibunya yang bekerja sebagai pengutip sayur-sayuran selepas bapa mereka yang bekerja sebagai pengutip sampah meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hidup menumpang kasih ibu saudara, kedua-dua beradik itu bagaimanapun tabah dan reda menerima ketentuan Allah SWT dan bersyukur kerana diterima seperti anak sendiri dalam keluarga ibu saudaranya yang dipanggil `Mak Teh’.

Menurut Nurul Alisha Maisarah, walaupun sedih kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri kali ini bersama ibunya, namun dia tetap gembira kerana adiknya masih berada di sisinya.

“Saya juga terharu kerana ramai pihak bersimpati dan sudi menghulurkan bantuan serta berkongsi kasih sayang dengan kami,” katanya.

Nurul Alisha Maisarah ditemui pemberita dalam program ‘Indahnya Ramadan’ anjuran UDA Holdings Berhad (UDA) di sini hari ini.

Menerusi program itu, seramai 65 kanak-kanak terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan, pelajar tahfiz, anak yatim dan golongan orang kurang upaya (OKU) dibawa membeli kelengkapan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Selain membeli kelengkapan Aidilfitri sebanyak RM200 seorang, kanak-kanak terbabit turut menerima duit raya sebanyak RM50 serta diraikan dalam majlis berbuka puasa.

Sementara itu, Pemangku Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UDA, Zahrin Zakaria berkata, program sumbangan kelengkapan Aidilfitri berkenaan adalah sebahagian daripada zakat bernilai RM35,000 yang diperuntukan pihaknya kepada golongan memerlukan di sekitar Bertam dan Seberang Jaya di sini.

“Menerusi program ‘UDA Cares-Enriching Life’ yang diadakan setiap tahun ini, UDA tidak hanya tertumpu untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang berdaya saing untuk mengejar keuntungan semata-mata.

“Tetapi pada masa sama, kami juga berhasrat untuk memberi semula serta menambah nilai kepada komuniti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini