LONDON 29 Mei – Andy Carroll dan Adrian antara bintang yang bakal meninggalkan West Ham United, selain Samir Nasri sebaik sahaja kontrak mereka berakhir pada hujung bulan depan.
Bekas penyerang England, Carroll, 34, telah meledak 34 gol dalam 142 penampilan sepanjang tujuh musim bersama The Hammers sejak tiba dari Liverpool.
Penjaga gol Adrian, 32, pula beraksi 150 kali dalam tempoh enam tahun manakala bekas pemain antarabangsa Perancis, Nasri, 31, telah membuat enam penampilan sejak menyertai West Ham pada 31 Disember 2018.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi Bersama West Ham, David Sullivan dan David Gold berkata, jaringan ‘gunting’ Carroll ketika menentang Crystal Palace pada Januari 2017, selain aksi hebat Adrian menyelamatkan sepakan penalti pada pertemuan dengan Everton di pusingan ketiga Piala FA 2015 akan sentiasa dikenang oleh penyokong mereka.
“Kedua-dua mereka telah memberi sumbangan dan meninggalkan kenangan yang tidak akan dapat dilupakan oleh kelab serta penyokong.
“Sama ada ia sepakan ‘gunting’ Carroll atau ketangkasan Andy menyelamatkan sepakan penalti.
“Mereka pasti dialu-alukan pada bila-bila masa jika mahu membuat kepulangan ke Stadium London. Saya ucapkan selamat mahu jaya buat mereka, begitu juga Samir Nasri,” kata kenyataan tersebut.
Penyerang Sepanyol, Toni Martinez juga akan meninggalkan kelab pada 30 Jun bersama pemain tengah, Moses Makasi dan Noha Sylvestre serta dua tonggak pertahanan, Vashon Neufville dan Josh Pask.
West Ham juga sedia melepaskan penyerang, Lucas Perez dan Javier Hernandez sekiranya mereka mahu mencari pasukan baharu. – AGENSI











