KUALA LUMPUR 28 Mei – Sebanyak 134 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Bersepadu di Kampung Baru dan Chow Kit di sini hari ini.
Dalam operasi bermula pada pukul 9.15 malam itu, seramai 235 warga asing dikesan berada di sekitar lokasi terbabit melibatkan premis perniagaan jamu, restoran, gerai dan perumahan di kawasan berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasil pemeriksaan mendapati warga asing yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, menyalahgunakan pas, tinggal melebihi masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf serta beberapa kesalahan lain,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu tersebut tamat.
Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, terdapat juga warga asing yang diperiksa mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS), pas pelajar, termasuk pas lawatan sementara (PLS) yang sah.
“Bagaimanapun ada kalangan PATI yang mengambil mudah dengan tidak membawa apa-apa dokumen diri seperti pasport ataupun i-kad ketika berjalan di sekitar pusat bandar.
“Sikap ini mencerminkan sifat tidak bertanggungjawab warga asing yang berada di negara ini serta seterusnya tidak menghormati undang-undang negara,” ujarnya.
Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, bermula 1 Januari sehingga 27 Mei tahun ini, JIM telah mengadakan sebanyak 7,501 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan 95,029 warga asing telah diperiksa.
Jelas beliau, hasilnya seramai 22,473 PATI dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen manakala 577 majikan ditahan sepanjang tempoh ini.
“Sebanyak 11,994 PATI dan 312 orang majikan telah didakwa dan diambil tindakan.
“Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan tahun ini, tangkapan tertinggi adalah warganegara Indonesia sebanyak 16,098 orang, diikuti Bangladesh (10,039 orang), Filipina (4,669 orang), Myanmar (4,155 orang) dan bakinya adalah dari negara-negara lain,” jelasnya.
Tambah Muhyiddin, jumlah keseluruhan PATI yang telah diusir adalah 28,853 orang. – UTUSAN ONLINE










