Kastam Kedah bongkar taktik seludup arak dalam kotak mi segera - Utusan Malaysia

Kastam Kedah bongkar taktik seludup arak dalam kotak mi segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya membongkar taktik penyeludupan minuman keras dengan menggunakan kotak barangan lain seperti mi segera dan lampin pakai buang bayi selepas menahan sebuah lori dalam Operasi Letup di Jeti Kuala Kedah di sini pada Jumaat lalu.

Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah berkata, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota penguat kuasa kastam cawangan Alor Setar melakukan pemeriksaan ke atas lori 10 tan tanpa pemandu itu kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Lori tersebut didapati diletakkan di kawasan pelabuhan kargo jeti selepas dipercayai masuk ke Kuala Kedah dari Langkawi menggunakan perkhidmatan pontun,” katanya pada sidang akhbar di JKDM Kedah di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, hasil pemeriksaan menemui hampir 1,800 botol minuman keras pelbagai jenama yang tidak berkastam disembunyikan di dalam kotak tertera tulisan jenama air mineral, kopi, mi segera dan lampin pakai buang bayi.

“Kotak-kotak berisi minuman keras itu diletakkan di bahagian belakang di sebalik muatan barangan terpakai seperti katil selain bekas plastik berjenama,” ujarnya.

Menurut Johari, modus operandi lain yang dikesan dilakukan penyeludup adalah dengan mengikrar lori muatan kosong dalam Borang Kastam 3.

Tambahnya, semua minuman keras yang dirampas adalah sebanyak 689.3 liter dianggarkan bernilai RM139,995 dengan cukai RM104,565 dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini