KUALA LUMPUR 27 Mei – Bursa Malaysia ditutup 0.19 peratus lebih tinggi hari ini dipacu minat belian baharu oleh dana-dana institusi yang diterajui kaunter kewangan.
RHBBank naik lima sen kepada RM5.70, selepas mengumumkan keputusan suku pertama yang positif, PBBank meningkat 26 sen kepada RM22.78, CIMB menokok tiga sen kepada RM5.18, HLBank naik enam sen kepada RM19.26.
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 3.03 mata lebih tinggi pada 1,601.35 selepas dibuka 6.12 mata lebih baik pada 1,604.44.
Indeks bergerak antara 1,579.25 dan 1,604.44 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 481 berbanding 330 manakala 327 kaunter tidak berubah, 804 tidak diniagakan dan 24 lagi digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 1.6 bilion unit bernilai RM1.29 bilion daripada 1.89 bilion unit bernilai RM1.54 bilion pada Jumaat.
Ketua penyelidik Rakuten, Kenny Yee berkata, dagangan kurang memberangsangkan berikutan tiada pemangkin ketara untuk menyokong pasaran di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Sentimen kekal berhati-hati, dan kami menyaksikan belian semasa harga rendah di kaunter-kaunter saham wajaran tinggi. Dana-dana institusi dilihat berada di paras sokongan 1,600,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA











