PUTRAJAYA 27 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan, kerajaan bersetuju untuk menghapus kira pinjaman projek Bekalan Air Luar Bandar Kerajaan Negeri bagi tahun 2001 dan ke atas.
Langkah itu jelas Perdana Menteri, adalah berdasarkan baki belum selesai pada 31 Disember tahun lalu keseluruhannya berjumlah RM3.8 bilion.
Beliau memberitahu, ini tertakluk kepada kerajaan negeri untuk memuktamadkan Skim Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negara selewat-lewatnya pada 31 Disember depan.
Menurutnya, kerajaan juga bersetuju agar Projek Bekalan Air Luar Bandar tidak lagi dibiayai dalam bentuk pinjaman mudah Kerajaan Persekutuan tetapi akan diperuntukkan secara geran di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Pelaksanaan hapus kira ini diharapkan dapat mempercepatkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air, mengurangkan beban kewangan tahunan negeri serta memastikan faedah berterusan dapat dinikmati oleh rakyat pada jangka masa panjang.
“Pada masa yang sama, syarikat operator air negeri boleh memfokuskan kepada penambahbaikan kualiti perkhidmatan bekalan air,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2019 di bangunan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Perdana Menteri memberitahu, Bekalan Air Luar Bandar merupakan projek sosio-ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan membekalkan air bersih kepada penduduk luar bandar.
Tambahnya, projek tersebut tidak mendatangkan hasil yang tinggi berbanding projek bekalan air di kawasan bandar. – UTUSAN ONLINE











