PUTRAJAYA 27 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini secara rasminya mewujudkan bilik pendengaran Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) di kementerian terbabit.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pewujudan bilik itu selaras dengan fungsi dan peranan TRP yang mempunyai kuasa eksklusif untuk mengkaji semula keputusan yang dibuat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
“Keperluan pewujudan bilik pendengaran ini juga adalah perlu kerana bilangan penyiasatan kes-kes persaingan oleh MyCC adalah berterusan dan bertambah dari semasa ke semasa. Oleh itu, adalah dijangka kes rayuan yang difailkan ke TRP juga akan turut meningkat.
“Melalui inisiatif ini, kita juga mendapat banyak manfaat iaitu TRP dapat menjimatkan kos sewaan serta memberi keselesaan kepada panel pendengaran rayuan dan pihak-pihak yang terlibat dalam kes rayuan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan bilik pendengaran TRP di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, antara kes yang berpotensi untuk didengarkan di TRP ialah mengenai tindakan MyCC terhadap Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya yang melibatkan penalti yang besar iaitu sebanyak RM213.45 juta. – UTUSAN ONLINE











