SEBERANG PERAI – Seramai sembilan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini esok berhubung kes melindungi pemandu ‘lori kebal’ yang melakukan kesalahan.
Mereka dijangka berdepan dengan 162 pertuduhan berkaitan kes itu.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM iaitu menerima suatu suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Terdahulu dalam tiga siri tangkapan pada bulan lalu, lebih 70 individu yang sebahagian besarnya anggota penguat kuasa JPJ ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut. – K! ONLINE











