TURIN 25 Mei – Bintang Juventus, Paulo Dybala menafikan dakwaan abangnya bahawa dia bersedia meninggalkan kelab gergasi Itali itu, sebaliknya menegaskan mahu terus kekal bersama juara Serie A tersebut.
Bintang Argentina itu dikaitkan dengan jalan keluar dari Turin setelah abang dan juga ejennya, Gustavo, mendakwa terdapat peluang besar untuk Dybala berpindah kerana dia memerlukan cabaran baru.
Sejak kehadiran Cristiano Ronaldo, Dybala kurang diturunkan musim ini apabila sekadar membuat 23 penampilan.
“Abang saya bercakap untuk diri sendiri. Saya bercakap dengan kelab serta pengarah sukan, Fabio Paratici, dan mereka tahu apa yang kami fikirkan.
“Saya mahu kekal bersama Juve tahun depan dan terus beraksi di sini. Jelas sekali Juventus harus membuat pilihan, menjadikan pasukan dibina berdasarkan pengurus yang tiba tetapi saya mahu kekal,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dybala turut dikaitkan bakal menyertai seteru, Inter Milan tetapi pemain tengah Argentina itu tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Saya sangat menghormati baju dan penyokong dan tidak akan bercakap mengenai pasukan lain kerana ia seperti tiada perasaan hormat,” ujarnya.
Setakat ini, Juve masih belum menamakan pengurus baru untuk menggantikan Massmiliano Allegri yang bakal mengendalikan pasukan buat kali terakhir dalam aksi berdepan Sampdoria hujung minggu ini. – AGENSI











